Yana Samsudin
BAKATNYA di cungkil syarikat penerbitan gergasi, Metrowealth International Group (MIG) sejak usia belasan tahun lagi.
Malah, penat lelah 'tauke'nya, Mejar (K) David Teo, dalam memperkenalkan nama, Yana Samsudin, 28, membuahkan hasil apabila bintang ini kini berada dalam kelas yang tersendiri.
Terkenal menerusi filem-filem terbitan MIG termasuk, Adnan Sempit, Wawa Semput dan Bini-Biniku Gangster, nama Yana sebaris dengan pelakon ternama.
Namun kini, tiba masanya untuk Yana membuat keputusan bergerak sendiri tanpa dibayangi syarikat penerbitan itu.
Menurut anak jati Johor ini, setelah 11 tahun bersama MIG, kini dia memilih untuk menguruskan kerjaya seninya sendiri.
"Pada 26 Februari ini, tamatlah kontrak saya bersama MIG. Ini bermakna, saya menjadi artis residen syarikat itu selama 11 tahun.
"Setelah memikirkan perkara ini masak-masak, saya membuat keputusan untuk bergerak sendiri dan perkara ini turut mendapat 'restu' daripada David.
"Lagipun, ia adalah perkara yang normal dan saya mengakhiri kontrak ini tanpa ada apa-apa kontroversi ataupun pergaduhan," katanya yang pernah dilabel 'anak emas' MIG.
Tambah wanita yang diberi jolokan, Primadona Mainstream Future Film ini, sepanjang berada di MIG, dia memperbaharui kontrak setiap lima tahun.
Tak lupa David Teo
Walaupun bukan lagi di bawah naungan MIG, namun pemilik nama sebenar, Norliana Samsudin, ini tidak keberatan memberikan kerjasama kepada bekas majikannya itu.
Jelas Yana, sekiranya ada tawaran daripada pihak MIG, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerimanya, namun bergantung kepada jadual kerja.
"Sebenarnya, saya membesar di depan mata David, jadi bukan mudah untuk saya jauh daripadanya. Jika dia (David) memerlukan khidmat saya, sudah tentu saya akan mempertimbangkannya.
"Saya sangat menghargai jasa David dan isterinya, Madam Jane, kerana merekalah yang banyak membantu saya sehingga kini.
"Malah, saya sudah anggap mereka seperti keluarga saya sendiri memandangkan bapa saya sudah lama tiada," katanya yang pernah diberi kepercayaan mengarahkan filem, Selamat Pagi Cinta, di usia 23 tahun.
Sepanjang pembabitan Yana dalam industri, dia berjaya menggondol beberapa anugerah termasuk, Anugerah Pelakon Filem Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP 2012) dan Anugerah Heroin Terhebat dalam Anugerah Blokbuster 1 & 2.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment