Friday, 14 February 2014

Suhaida peserta tunggal wanita Endure Challenge

Suhaida peserta tunggal wanita Endure Challenge
Siti Nor Suhaida beraksi di atas motosikal lasak sempena Piala Tengku Amir-45 Enduro Challenge 2014 di litar Tasik Burung Mandi, Kemahang Hilir, Benta.


KUALA LIPIS - Sukan motosikal lasak (motorcross) tidak hanya terbatas kepada golongan lelaki sahaja dan ini terbukti apabila golongan wanita turut berminat untuk menceburi aktiviti berkenaan.

Ini jelas dibuktikan oleh peserta tunggal wanita Piala Tengku Amir-45 Enduro Challenge 2014, Siti Nor Suhaida Jafri, 18, yang teruja bersaing dengan lebih 300 peserta lelaki dalam pertandingan berkenaan.

Siti Nor Suhaida berkata, minat yang bercambah sejak tujuh tahun lalu telah mendorong dirinya menyertai banyak aktiviti motosikal lasak di seluruh negara.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, ayahnya, Jafri Abdullah, 44, merupakan insan banyak memberi galakan dan dorongan untuk dirinya terbabit dalam sukan lasak itu.

“Saya memang suka aktiviti motosikal lasak sejak zaman sekolah. Saya juga pernah mengalami kecederaan patah kaki pada tahun 2012 ketika menyertai satu pertandingan motorcross.

“Namun itu tidak mematahkan semangat saya, malah pengalaman yang dirasai ketika meluncur laju sambil melompat dan mengatasi halangan di atas jalan tanah merah yang tidak rata memberi satu
keseronokan yang cukup berbeza,” katanya pada Piala Tengku Amir - 45 Enduro Challenge 2014 di litar Tasik Burung Mandi, Kemahang Hilir, Benta di sini, kelmarin.

Menjadi impian gadis dari Kuala Krai, Kelantan ini untuk membuat persembahan motorcross di peringkat antarabangsa dan mahu memartabatkan sukan itu dalam kalangan wanita di negara ini.

“Walau bagaimanapun saya turut menasihati wanita yang ingin mencuba bidang ini supaya mempunyai jiwa yang kental dan jangan takut untuk mencuba.

“Sukan ini memang untuk merosakkan motor. Jadi wanita yang ingin mencubanya jangan takutkan cabaran dan saya harap lebih ramai wanita menyertai sukan pemotoran ini sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment