Friday, 21 February 2014

Pernah dipukul seribu kali, dakwa anak

STOCKHOLM: Anak kedua pasangan rakyat Malaysia yang ditahan di Sweden atas tuduhan mendera anak-anak mereka, berkata dia telah dipukul lebih dari seribu kali oleh ibunya dan beberatus kali oleh bapanya pada tahun 2013.

Memberi keterangan kepada pegawai penyiasat, Ammar,12, berkata beliau juga telah disuruh berdiri di satu sudut rumah sepanjang hari sehingga bapanya pulang ke rumah sebagai hukuman.

Kenyataan itu disampaikan dalam video oleh pendakwa Anna Arnell di dalam mahkamah di hadapan Hakim Mattias Moller pada hari kedua perbicaraan.

Memakai seluar jeans dan jaket hijau, Ammar juga memberitahu tentang dua insiden di mana beliau didakwa dipukul oleh ibu bapanya.

Insiden pertama adalah apabila dia mendengar muzik yang kuat ketika melakukan kerja rumah dan ibunya memukulnya dengan penyangkut baju sebagai hukuman.

Insiden kedua adalah ketika dia dan kakaknya bergaduh di dalam kereta semasa bapa mereka memandu mereka ke sekolah. Beliau berkata beliau telah dipukul di bahu oleh bapanya Azizul Raheem Awaluddin setelah memukul kakaknya.



Terdahulu di dalam video berasingan, anak bongsu pasangan itu Arif telah menunjukkan beberapa objek yang diambil dari rumah mereka dan diminta untuk mengenal pasti yang mana digunakan untuk memukul beliau.

Beliau yang berusia tujuh tahun kemudian mengenal pasti dua rotan dan pembersih karpet sebagai objek yang digunakan oleh ibunya, Shalwati Nor Shal untuk memukulnya.

Beliau menyifatkan ia sebagai "rotan yang mempunyai simpulan".


Mamakai baju kurung berwarna emas, tudung kelabu dan jaket, Shalwati kelihatan tenang sepanjang prosiding itu yang diadakan pada waktu pagi. Dia dan suaminya Azizul duduk bersama peguam mereka Johan Tamm dan Kristofer Stahre. 

Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang emosi sepanjang prosiding.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia, Datuk Badruddin Abdul Rahman, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammed Tayib dan beberapa ahli keluarga dan rakan-rakan pasangan itu.


Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak Disember 2013 kerana didakwa mendera keempat-empat anak mereka , yang kini di bawah jagaan ibu saudara mereka di Kelantan.


Mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, bulan lepas.

Anak sulung pasangan itu Aishah , 14, dan Ammar kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala manakala Adam , 11, dan Arif kini belajar di Sekolah Kebangsaan Padang Kala, Kota Bharu.

Perbicaraan dijangka berjalan selama 10 hari di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm dan akan melihat Shalwati dan Azizul membuat pengakuan tidak bersalah mereka atas melanggar integriti anak-anak mereka .

No comments:

Post a Comment