KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan para pengguna supaya menggunakan pendingin hawa secara bijak ketika cuaca panas dan kering ini.
Menurut Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, ia bagi menjamin penggunaan elektrik diuruskan dengan lebih baik.
“Pendingin hawa mewakili sebahagian besar penggunaan elektrik sebilangan pengguna kami,” kata Mohd Aminuddin dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau juga menyarankan para pengguna supaya mengamalkan tip-tip berikut bagi menjimatkan penggunaan tenaga:
- Laraskan suhu sistem penghawa dingin di antara 23 ke 25 darjah celsius.
- Tukar atau bersihkan penapis penghawa dingin dengan kerap untuk memaksimumkan potensi penyejukan unit tersebut. Penapis yang kotor menghalang edaran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.
- Selain itu, penyelenggaraan secara kerap juga boleh membantu pendingin hawa beroperasi pada tahap optimum.
- Tutup semua pintu dan tingkap serta lubang edaran udara untuk memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik.
- Pada waktu malam, buka kipas dan tetapkan masa pendingin hawa untuk ditutup. Selalunya suhu bilik akan mencecah tahap yang selesa selepas beberapa jam pendingin hawa dipasang. Tambahan, penggunaan kipas adalah lebih murah dan membantu pengedaran udara di dalam bilik.
Selain itu, Mohd Aminuddin juga mengingatkan para pengguna agar menggantikan pendingin hawa yang berusia lebih 10 tahun kerana unit-unit tersebut tidak lagi cekap setelah bertahun-tahun digunakan.
Katanya mereka yang ingin membeli pendingin hawa baharu dicadangankan supaya memilih pendingin hawa yang mempunyai bintang kecekapan tenaga yang paling tinggi kerana lebih banyak bintang bermaksud peralatan tersebut lebih cekap berfungsi.
Katanya lagi pemilihan saiz dan jenis pendingin hawa yang tepat juga penting kerapa pendingin hawa yang terlebih besar bukan sahaja lebih mahal untuk dibeli dan dipasang, malahan ia juga akan menyebabkan bil elektrik yang lebih tinggi kerana kompresor pendingin hawa perlu berputar dan berhenti berulang-ulang. - ASTRO Awani
No comments:
Post a Comment