Penyerang Pahang Matias Ruben Conti (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika mendahului Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Darul Makmur, dekat Kuantan, malam tadi. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Juara Piala Malaysia, Pahang melakar kejutan selepas mengalahkan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan kemenangan tipis 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Mohd Hafiz Kamal menjadi wira skuad Tok Gajah selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92 menerusi tandukan hasil sepakan percuma pemain tengah, Azidan Sarudin.
Kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 2-2 dengan gol Pahang dijaringkan Matias Conti pada minit ke-13 dan Fauzi Roslan (47') manakala gol skuad 'Harimau Selatan' dijaringkan Pablo Aimar (45+2') dan Mohd Safee Sali (72').
Sarawak pula melonjak ke tangga teratas Liga Super hasil kemenangan selesa 2-0 ke atas Selangor PKNS FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Dua gol pasukan pelawat kendalian Robert Alberts dijaringkan Milorad Janjus seawal minit kesembilan dan Gabor Gyepes, tujuh minit kemudian.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Jaringan Sabre Abu pada minit ke-47 sudah memadai untuk skuad 'The Cops' kendalian Dollah Salleh mengekalkan kedudukan pendahulu dengan kutipan bersih sembilan mata selepas tiga perlawanan.
Negeri Sembilan mengutip tiga mata selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Felda United FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Dua gol skuad 'Hoben Jang Hoben' dijaringkan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-13 dan S. Sivanesan (27') manakala gol saguhati skuad 'The Settlers' disumbangkan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-67.
Tiga lagi pasukan; Pulau Pinang, SPA Putrajaya FC dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pula mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas lawan masing-masing.
Pulau Pinang yang merupakan juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia musim lepas, mengalahkan UiTM FC hasil jaringan tunggal pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon pada minit ke-11 pada aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
SPA Putrajaya FC mengalahkan DRB-Hicom FC menerusi gol pemain import dari Perancis, Mickael Nicoise Joseph pada minit ke-33 di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, JDT II menang tipis ke atas pasukan tangga tercorot, Perlis hasil jaringan See Kok Luen pada minit ke-90.
Terdahulu, pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rosli Muda dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad pada minit ke-76 selepas beliau mengasari Kok Luen.
Perlawanan antara Kedah dan wakil Pulau Pinang, PBAPP FC yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini, ditangguhkan memandangkan kerajaan negeri menggunakan venue berkenaan untuk program khas. - Bernama
No comments:
Post a Comment