Tuesday, 18 February 2014

Cuaca kini kering bukan kemarau


KUALA LUMPUR: Malaysia tidak dilanda kemarau sebaliknya sedang mengalami cuaca panas, kata Timbalan Ketua Pengarah (Strategi dan Teknikal), Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Dr Rosaidi Che Abas.

Beliau berkata cuaca panas dengan suhu purata antara 34 dan 36 darjah selsius di kebanyakan negeri di Semenanjung sekarang mengakibatkan keadaan kering mengikut tafsiran meteorologi.

"Keadaan cuaca panas dan kering pada setiap Januari dan Februari merupakan situasi normal di negara ini... apa yang kita alami sekarang belum lagi tahap kemarau.

"Sekiranya kemarau berlaku, pihak meteorologi akan mengeluarkan amaran waspada kepada orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga," katanya hari ini.

Ditanya mengenai pembenihan awan bagi menghasilkan hujan, Dr Rosaidi berkata memandangkan Malaysia sekadar berdepan cuaca kering dan bukannya kemarau, proses itu tidak perlu dilakukan.

"Daripada pemerhatian (JMM), belum ada keperluan (pembenihan awam). Lagipun, keadaan sekarang cuma cuaca kering dan belum pada tahap kritikal...keadaan sama macam tahun lepas.

"Bagaimanapun, pihak kami sedia pada bila-bila masa jika diminta membuat pembenihan awan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Sumber Air, Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Nor Asiken Alias berkata paras air di semua empangan kendalian jabatan itu mengalami penurunan di bawah paras normal sejak pertengahan bulan lepas.

"Namun, penurunan paras air ini masih belum melebihi paras minimum," katanya.

Beliau berkata sebarang penyusutan paras air di empangan kendalian JPS akan dipantau dan dimaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk tindakan.

Bernama

No comments:

Post a Comment