Thursday, 16 January 2014

Rahsia awet muda Raja Ema

Raja Ema
Raja Ema


BERGELAR seorang ibu, pelakon dan penyanyi dalam satu masa bukanlah perkara mudah, sebaliknya memerlukan kesihatan dan tenaga yang mencukupi untuk memastikan tanggungjawab dipikul dapat dilaksanakan dengan baik.

Perkara yang sama turut dirasai oleh selebriti popular era 80-an, Raja Ema yang kini kembali mewarnai industri hiburan tanah air.

Baginya, kesihatan tubuh badan amat penting buat seseorang wanita untuk tampil lebih cantik dan bertenaga.

Walaupun tidak memiliki masa luang yang banyak, ibu kepada dua orang anak lelaki, Putera Amar, 19, dan Putera Alqasha, 17, ini sentiasa mencuri masa untuk melakukan aktiviti bersenam bagi memastikan kesihatannya berada dalam keadaan yang baik.

Istimewa kali ini, Raja Ema tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya bersama peminat. Jom kita ikuti wawancara ini...
Antara kecantikan dan kesihatan, mana yang lebih anda utamakan?

Saya pilih kesihatan dan sentiasa mementingkannya. Bagi saya, kecantikan seseorang bermula daripada penjagaan kesihatan. Kalau cantik tapi tidak sihat pun tidak ada gunanya.

Sibuk dengan aktiviti kerjaya, bagaimana anda kelihatan sentiasa bertenaga?

Untuk sentiasa kelihatan bertenaga, sudah tentu saya amalkan senaman. Bukan sahaja menyanyi, berlakon juga memerlukan tenaga yang mencukupi, tambahan pula waktu penggambaran tidak menentu.
Bagaimana cara anda bersenam?

Kalau ikutkan memang saya tidak ada masa untuk bersenam tapi demi kesihatan, saya curi masa dan lakukannya di rumah dengan pergerakan senamrobik menerusi video kerana itulah cara paling murah dan mudah. Paling kurang saya buat tiga kali seminggu.

Selain bersenam, adakah anda mengamalkan diet?

Maklumlah, bila usia sudah meningkat, berat dan bentuk badan yang ideal memang sukar untuk dikekalkan. Jadi mamang saya amalkan diet tapi tidaklah terlalu ketat. Tapi saya cuba elakkan pengambilan makanan yang tidak berkhasiat dan yang paling penting, setiap hari saya akan minum tiga liter air kosong.

Seperti yang diketahui umum, anda pernah menjalani rawatan kosmetik...

Dalam usia saya yang semakin meningkat ini, penampilan perlu dijaga, bila memasuki peringkat umur macam saya ini, kulit-kulit memang tidak tegang macam zaman muda dahulu. Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan thread lift bagi mengekalkan kecantikan dan awet muda. Rawatan ini, tidak melakukan sebarang pembedahan cuma ianya adalah prosedur yang normal dan tiada sebarang penggunaan botoks dan sebagainya.

Apakah tip penjagaan kulit yang diamalkan?

Sama seperti wanita lain, penjagaan kulit saya menggunakan beberapa produk yang bersesuaian dengan kulit bagi memastikan ianya dilindungi dengan baik. Sebab kalau masa penggambaran, kadang-kadang saya terdedah kepada cuaca dan pemakaian solekan juga akan memberi kesan.
Adakah anda amalkan pengambilan suplemen?

Ya, saya memang ada ambil beberapa suplemen. Saya akui pengambilan suplemen ini mampu membantu mempercepatkan proses penjagaan kulit, berat badan dan juga memberi lebih tenaga.

Berapa kerap anda mendapatkan rawatan di pusat kecantikan?

Sebenarnya, saya memang jarang pergi ke pusat kecantikan kerana lebih selesa dengan penjagaan yang tersendiri.

Perkembangan terkini?

Sekarang saya sibuk dengan karier lakonan dan sedang menjalani penggambaran dua telemovie untuk siaran RTM iaitu Maya dan Kata Hati. Untuk nyanyian pula, saya juga ada menerima undangan nyanyian untuk majlis-majlis keramaian.

Bagaimana anda membahagikan masa antara kerjaya dan seorang ibu?

Saya memang akui setiap hari sibuk dengan kerjaya lakonan dan juga nyanyian. Tapi itu bukan alasan untuk saya abaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada dua putera kesayangan saya. Walau sibuk bagaimanapun dalam seminggu, sehari saya akan luangkan masa bersama untuk lakukan aktiviti-aktiviti yang menarik dan pada masa yang sama berinteraksi untuk mengetahui perkembangan mereka.

Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment