Thursday, 16 January 2014

Alasannya: 'Saya tak tahu ia salah'

'Saya tak tahu ia salah'
Mohamad Arif mengaku bersalah memiliki pedang samurai di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam


KUALA TERENGGANU - “Saya langsung tidak tahu memiliki pedang samurai itu adalah satu kesalahan, sebab itu saya sentiasa membawanya,” demikian alasan Mohamad Arif Mazlan, 21, dalam rayuannya selepas mengaku bersalah memiliki pedang samurai di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Walau apa jua alasan diberikan, Mohamad Arif dari Jalan Tanjong Kampung Baru, Kertih, Kemaman, tetap menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman denda RM800 atau berdepan lapan bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Semua hukuman itu diputuskan selepas Mohamad Arif mengaku bersalah dengan sengaja memiliki sebilah pedang samurai iaitu senjata dijadualkan dalam jadual kedua, Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu di tepi jalan Kampung Pasir Puteh, Marang, antara jam 12.45 tengah malam hingga 1 pagi, 12 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mahathir Mohd Yusof di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, manakala Mohamad Arif tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Mohamad Arif yang memandu Perodua Kenari dari arah Kuala Terengganu ke Dungun ditahan dalam satu sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Merchang kira-kira jam 12.45 malam, 12 Januari lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Arif tidak memberikan kerjasama sebaliknya melarikan diri ke arah Dungun sebelum polis bertindak mengejar dan berjaya menahannya di Kampung Pasir Putih, Merchang, Marang.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah pedang samurai yang disimpan dalam bonet belakang sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment