BANGKOK: Pasangan Malaysia, hari ini telah ditahan di pekan Danok, Selatan Thailand kerana dipercayai terlibat dalam sindiket jenayah pemalsuan kad ATM.
Menurut laporan Bernama yang dipetik dari Bangkok Post, kedua-dua individu itu telah ditahan di sebuah hotel di pekan tersebut.
Antara barang-barang yang telah dirampas termasuk sekeping kad ATM kosong, lapan kad ATM serta kad kredit dari bank Malaysia dan Thailand.
Selain itu, nota bank yang bernilai 500,000 baht (RM 50,181) turut dirampas.
Pasangan itu juga dipercayai suspek yang telah lama diburu oleh pihak berkuasa Malaysia dan Thailand.
Menurut laporan juga, timbalan ketua biro imigresen Songkhla, Pol Capt Seksan Ongart memaklumkan bahawa pasangan yang berumur 45 dan 38 itu telah daftar masuk ke hotel di daerah Sadao, Songkhla pada Jumaat.
Katanya kedua-dua individu itu telah beberapa kali keluar masuk ke Thailand serta menggunakan kad ATM palsu untuk mengeluarkan wang.
Menurut laporan lagi, pihak bank Thailand sudah pun dimaklumkan tentang aktiviti pasangan itu dan gambar suspek membuat pengeluaran wang tunai di Songkhla telah pun diserahkan kepada polis.
Suspek juga dipercayai telah memberitahu polis imigresen bahawa mereka memperolehi kad ATM kosong itu dari warganegara Malaysia lain yang telah ditahan pada 29 Disember.
Pasangan itu juga dipercayai ahli anggota sebuah kumpulan sindiket ATM yang terdiri dari 10 orang, yang mana empat dari mereka kini telah ditahan.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment