GEORGE TOWN: Pasukan penyelamat menemui seorang dari dua lelaki yang hilang dihanyut ombak di Pantai Kerachut, Teluk Bahang.
Mayat Ashwanpaljit Singh Charnjit Singh, 22, dijumpai tidak jauh dari tempat kejadian pada pukul 5 petang, Ahad.
Suasana pilu dan hiba menyelubungi kawasan kejadian dan ibu Ashwanpaljit pengsan sebaik melihat mayat anak lelakinya.
Mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Usaha mencari seorang lagi mangsa, Ku Muhammad Ilyas Ku Abdul Halim,19, yang hilang masih dijalankan.
Operasi melibatkan lebih 40 anggota dari pasukan Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta nelayan tempatan.
Operasi juga diperluaskan sehingga ke kawasan perairan Balik Pulau dengan bantuan helikopter.
Dalam kejadian pada petang Sabtu, seorang mangsa, P.Yogambigai, 24, mati lemas dan dua lagi rakannya hilang akibat dihanyut ombak.
Manakala, dua daripada mereka, Nur Hayati Nasrul, 22, dan Nurul Ain Nabilah Mokthar, 21, yang terselamat sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan kini berada dalam keadaan stabil.
Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk A Thaiveegan berkata kepada Bernama, pihaknya akan mengambil keterangan dua mangsa yang terselamat dalam kejadian tersebut bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
"Kita akan mendapatkan keterangan mereka secepat mungkin jika keadaan kesihatan mereka mengizinkan," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.
Mereka adalah antara 24 pekerja sebuah syarikat pengiklanan di Prai, yang menyertai kem bina diri di Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang.
Taman Negara itu ditutup sementara pada Ahad untuk lawatan umum.
- Astro Awani
No comments:
Post a Comment