Aznil
MALAM Khamis lalu, tirai program realiti berbentuk Islamik, Mimbar Pencetus Ummah telah melabuhkan tirainya apabila PU Hafiz dinobatkan sebagai juara.
Walaupun rancangan dakwah itu telah pun berakhir, namun ianya tidak terlepas daripada isu sampingan lain yang membuatkan masyarakat khususnya peminat tidak berpuas hati.
Ibarat 'rumah siap, pahat masih berbunyi', kemunculan pengacara berpengalaman, Datuk Aznil Nawawi di pentas akhir program itu menjadi pertikaian hebat.
Di laman sosial dan akaun rasmi Pencetus Ummah (PU), rata-rata mempertikaikan kredibiliti Pak Nil di medan PU sebagai juri profesional.
Malah, ada juga segelintir peminat kurang selesa dengan komen-komen yang telah diberikan khususnya kepada finalis yang berasal dari Pulau Pinang, PU Shahul.
Enggan menunggu lama, Pak Nil yang dihubungi Zass memberitahu bahawa komen-komen yang diberikan bukan berbentuk kritikan, namun lebih kepada pandangan.
"Saya tidak berniat untuk mengkritik kerana itu hanyalah cadangan saya apabila sepanjang tempoh satu minit setengah itu, finalis berkenaan hanya menjerit dalam penyampaiannya.
"Bukankah penyampaian itu lagi indah dan cantik sekiranya tona suara itu direndahkan dan diselang-selikan dengan pujian serta humor.
"Bagi orang Islam, mungkin ianya tidak menjadi masalah, namun bagi orang bukan Islam dan dalam usaha untuk mendekatkan diri dengan agama, mungkin perkara itu boleh menakutkan mereka," katanya.
Tak sentuh hal agama
Menurut Pak Nil, walaupun rancangan itu merupakan medan agama, namun pemilihannya sebagai juri profesional hanyalah merangkumi pengucapan awam dan persembahan.
Katanya, pertikaian di medan sosial terutamanya tidak perlu dibangkitkan kerana pandangannya di pentas akhir PU tidak melebihi batas yang telah ditetapkan.
"Saya ditugaskan untuk memberi pandangan mengenai pengucapan awam dan dalam persembahan sahaja.
"Sepanjang tempoh itu, saya tidak sentuh langsung mengenai dalil atau mana-mana hal agama kerana ada juri profesional agama yang lebih layak dilantik.
"Malah, masyarakat tidak perlu mempertikaikan kredibiliti saya di dalam tugas itu kerana pengalaman saya dalam bidang ini lebih 24 tahun," katanya.
Tambah Pak Nil, dia juga tidak akan tunduk kepada tekanan yang diwujudkan masyarakat mengenai perkara itu.
"Saya tidak rasa terganggu langsung dengan tekanan yang diberikan kerana saya tahu apa yang saya buat. Malah, saya merupakan orang yang paling lama dalam bidang pengucapan awam bersama Astro.
"Apa sahaja kritikan yang diberi, saya akan telan dan tidak akan memikirkannya secara serius," ujarnya.
Platform berkesan
Bertanya mengenai rancangan PU secara keseluruhan, Pak Nil menyokong usaha Astro dalam membawa program-program berbentuk Islamik menerusi medium yang berbeza.
Katanya, walaupun struktur dan medium yang digunakan sangat berbeza dengan rancangan keagamaan lain, namun percaturan itu mampu menarik minat masyarakat untuk terus menimba ilmu.
"Bagi saya, PU adalah sangat bagus dan ia mampu melahirkan pelapis dan pendakwah di era baru. Malah, ia sangat berkesan dan berbeza daripada takuk yang lama.
"Walaupun ia masih baru, namun PU mampu melahirkan bakal-bakal pendakwah yang hebat dan berjuang dalam menyebarkan dakwah dengan cara yang tersendiri," katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment