BERIKUTAN banyak permintaan motosikal berkuasa tinggi dalam pasaran tempatan, Boon Siew Honda peka terhadap perkara tersebut dengan memperkenalkan tiga serangkai jentera CB500.
Permintaan terhadap motosikal berkapasiti besar meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ramai juga yang bertanyakan tentang kembar tiga CB500 ini, mungkin kerana faktor penawaran harga mampu milik dan juga faktor jenama Honda itu sendiri. Sukar untuk kita buang daripada asas persepsi kepada penjenamaan, lebih-lebih lagi nama Honda sudah sekian lama bertapak di Malaysia.
Sebelum ini, saya pernah menceritakan pengalaman menunggang varian supersports, CB500R. Pengalaman menunggang CB500R sejauh 1000 kilometer telah membuktikan kecekapan penggunaan bahan api mesin ciptaan Honda.
Beberapa hari lalu, atas ketulusan seorang rakan, saya sempat menguji jentera CB500X, versi touring. Pada pandangan pertama, saya tidak terlalu tertarik dengan rekaan keseluruhan. Saya mengakui, mungkin kerana saya terlalu obsesi kepada jentera touring buatan Eropah. Apabila dilihat secara rasional tanpa elemen bias, saya harus memberikan pujian yang sewajarnya.
Gaya kembara yang disemaikan pada model ini agak menjadi dan jelas berbeza dengan varian CB500 lain. Paruh kecil pada bahagian hadapan memang disengajakan untuk menampakkan ia seperti jentera crosstourer.
Jika dibandingkan dengan varian F dan R, walaupun mereka berkongsi casis dan enjin, varian X lebih tinggi. Kedudukan kerusi. padanan fork lebih panjang dan jarak roda yang lebih panjang. Ia menjadikannya sebagai motosikal lebih matang daripada F dan R.
Tunggangan dari Genting Highlands selepas melalui jalan lama dari Ulu Yam, saya selesa dengan kedudukan tunggangan.
Pengendalian mudah, stabil dan lembut . Capaian hendal dari tempat duduk berserta kedudukan kaki memudahkan tunggangan.
Reka bentuk bar hendal yang lebar menjadikan motosikal ini mudah dikawal ketika di selekoh berbanding varian F. Walaupun fork hadapan sedikit lembut, prestasi keupayaan pengendaliannya baik dan stabil.
Jentera ini dikuasakan enjin dua silinder berkembar 471cc yang mengeluarkan 47 kuasa kuda. Tenaga yang dihasilkan teratur, lembut dan berpadanan dengan saiz jentera. Sistem brek yang dibekalkan pula menawarkan prestasi hentian yang meyakinkan.
Menuruni cerun jalan berbukit, dalam kebanyakan masa, saya menggunakan brek hadapan. Walaupun brek hadapan hanya dibekalkan dengan cakera 320 milimeter (mm) tunggal, ia sudah memadai.
Ada juga yang bertanyakan tentang keupayaan motosikal ini dalam laluan offroad. Pada saya, jangan mudah terpengaruh dengan rekaan gaya kembaranya. Secara praktikal, CB500X lebih sesuai untuk digunakan di atas jalan raya biasa sahaja.
Tidak menjadi sebarang masalah jika anda mahu mencuba, tetapi jangan merungut jika rakan anda terpaksa membiarkan anda terkial-kial keciciran di belakang.
Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan prestasi jentera ini. Ia lebih baik berbanding varian naked CB500F dan model fairing penuh CB500R.
Saya beranggapan model ini mempunyai potensi yang baik dalam pasaran tempatan, namun, ia bergantung pada kepada kredibiliti pengedar jenama itu untuk memenuhi permintaan pasaran.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment