Thursday, 30 January 2014

Menangis terima keputusan mahkamah

Roslan dipeluk isteri yang menangis di luar mahkamah selepas hukuman diputuskan, semalam. - Foto Sinar Harian


KOTA BHARU - Suasana mahkamah tinggi di sini, semalam diselubungi hiba apabila dua sahabat berpelukan dan menangis kerana bebas daripada tuduhan mengedar dadah, tahun lalu, sementara seorang lagi dihukum gantung sampai mati.

Keputusan dibuat Hakim, Datuk Azman Abdullah pada akhir kes perbicaraan selepas mendapati tertuduh pertama itu gagal menimbulkan keraguan munasabah atas tuduhan tersebut.

“Tertuduh pertama tidak berjaya menyangkal anggapan mengedar, maka tiada hukuman lain bagi kesalahan ini melainkan gantung sampai mati, sementara tertuduh kedua dan ketiga dilepas dan dibebaskan selepas berjaya dalam pembelaan mereka,” katanya.

Roslan Hanapi, 36, didapati bersalah mengedar 310.1 gram heroin di sebuah stor di Kampung Bakat, Rantau Panjang, Pasir Mas, pada jam 2.15 pagi, 30 Januari 2012.

Dia didakwa bersama dua rakannya, iaitu seorang penoreh getah berusia 41 tahun, Abdul Razak Senik dan bekas tentera, Mohd Hafizul Aswan Azman, 31, kedua-duanya dibebaskan.

Sejurus keputusan semalam, Abdul Razak dan Mohd Hafizul Aswan yang berada dalam kandang pesalah, berpelukan, manakala Roslan hanya mampu mengangguk serta menundukkan kepalanya.

Tambah hiba apabila ahli keluarga masing-masing gagal menahan sebak dan turut menangis menerima dua keputusan itu.

Pada prosiding sama, Roslan turut dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan kerana memiliki pistol jenis Revolver .32 3” Mod 31-1 Smith & Wesson ketika cubaan menghalang penangkapannya oleh polis.

Azman bagaimanapun menangguhkan pelaksanaan hukuman itu terlebih dahulu bagi memberi laluan kepada hukuman mati.

Roslan diwakili peguam, Muhammad Hasif Hasan manakala pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Raya negeri, Julia Ibrahim.

Roslan sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan kerana memiliki pistol, yang diputuskan mahkamah sesyen, di sini, tahun lalu, selain turut memiliki rekod lampau membabitkan dadah.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment