Mukhriz menunjukkan kereta rasmi KCX8 yang digunakan.
ALOR SETAR - Kereta Mercedes Benz S320 bernombor pendaftaran KBV 8 yang menjadi kenderaan rasmi Menteri Besar Kedah, kini menjadi bualan ramai, gara-gara dakwaan beberapa laman sosial dan blog pro pembangkang bahawa kereta itu bertukar ‘wajah’ namun menggunakan nombor plat sama.
Berdasarkan dakwaan itu, kerajaan negeri dikatakan membeli Mercedes Benz S300 sekitar penghujung tahun lalu, namun menggunakan plat lama, KBV 8 pada kereta baharu berikutan nombor plat itu didaftarkan bawah kerajaan negeri sebagai kereta rasmi Menteri Besar Kedah.
Bagaimanapun, kereta yang dimaksudkan itu tidak kelihatan di pekarangan Wisma Darul Aman, dan difahamkan berada di sebuah bengkel kereta bagi tujuan pemeriksaan.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, bagaimanapun menafikan membuat pembelian kereta baharu bagi kegunaan rasmi menteri besar.
“Tidak ada kereta baharu dibeli, kereta yang saya gunakan dibeli ketika zaman Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak ketika menjadi Menteri Besar. Saya guna kereta sama yang digunakan Allahyarham, iaitu Mercedes Benz S350, nombor plat KCX8,” katanya, kepada media, sejurus selesai majlis perhimpunan bulanan di Wisma Darul Aman, hari ini.
Menurutnya, Mercedes Benz S320 bernombor plat KBV8 yang dibeli pada tahun 2006 oleh menteri besar sebelum itu, iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid masih digunakan sehingga kini.
“Kereta itu masih digunakan tetapi kereta itu sudah lama, namun kita tidak membeli kereta baharu untuk kegunaan rasmi,” katanya.
Mengulas dakwaan pembelian kereta Mercedes Benz S300 yang dikatakan berlaku beberapa bulan lalu, Mukhriz menegaskan, ia tidak berlaku seperti heboh diperkatakan.
“Kereta Mercedes Benz S300 yang saya gunakan di Kuala Lumpur untuk urusan rasmi adalah milik saya, bukan kerajaan negeri. Saya gunakan kereta peribadi untuk kurangkan beban kewangan kerajaan negeri, cuma diletakkan plat tertulis menteri besar bagi memudahkan urusan terutama jika memasuki perkarangan Istana,” katanya.
Mukhriz turut memperjelaskan kereta miliknya itu dibeli dua tahun lalu.
“Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dikecam kerana beli kereta baharu, sekarang nampaknya ada pihak cuba alihkan perhatian supaya isu itu dilupakan, dan tumpu pada saya pula. Mungkin pembangkang tidak ada isu untuk diketengahkan dan kaitkan isu peribadi seperti ini yang tiada kaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Menurutnya, pihaknya tidak terkejut sekiranya isu pembelian kereta rasmi akan dibawa hingga ke parlimen kerana pembangkang mahu menegakkan kebenaran, sedangkan parlimen adalah sebuah dewan yang mulia untuk menggubal undang-undang.
“Banyak lagi hal penting perlu diberi tumpuan, bukan hal remeh seperti ini,” katanya.
Pada September 2011, Allahyarham Azizan dikecam apabila membeli KCX 8 sebagai kereta rasmi tambahan milik kerajaan negeri untuk kegunaan kenamaan, manakala Allahyarham selesa menggunakan Mercedes Benz KBV 8, yang diwarisi daripada Mahdzir.
KCX 8 didaftarkan pada 20 Jun 2011 manakala KBV 8 didaftar 5 April 2006. Kedua-dua kenderaan itu didaftar bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment