Friday, 10 January 2014

Mahasiswa UiTM kena tipu RM3,000

Wan Mohd Asyraf menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Saujana Utama.


PUNCAK ALAM - Ibarat menunggu buah tak gugur. Itulah yang terjadi kepada seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Wan Mohd Asyraf Junoh, 23, apabila sehingga kini masih belum menerima tempahan 400 pakaian sukan sekolah walaupun deposit telah dijelaskan.

Katanya, ejen tempahan yang dikenali sebagai Lutfi memberi pelbagai alasan setiap kali dia mendesak supaya memulangkan deposit yang telah diserahkan.

Wan Mohd Asyraf berkata, dia mengenali Lutfi menerusi laman sosial Facebook ketika menyertai Group T-Shirt Printing Malaysia bagi mencari ejen sesuai untuk urusan penempahan pakaian sukan sekolah.

“Pada awal pertemuan, saya mempercayai lelaki itu apabila dia menunjukkan contoh baju. Harga ejen yang dinyatakan lebih murah. Selain itu, dia turut memberitahu alamat kedainya terletak di Kompleks Otomobil Seksyen 15, Shah Alam. Ketika itu saya masih tak sedar tembelang sebenarnya. Ketika dia mendesak mahu deposit diserahkan cepat, saya rasa lain macam dah. Tapi, tetap bagi melalui deposit tunai kerana mahu baju yang ditempah siap awal.

“Namun, saya kecewa apabila baju yang ditempah sejak Oktober 2013 masih gagal disiapkan dan ejen terbabit beri pelbagai alasan termasuk tukang jahit lari setiap kali saya bertanyakan mengenai tempahan tersebut.

“Apabila saya mahu datang ke kedai, dia akan tetapkan tempat pertemuan lain seperti di kedai makan. Saya bukan apa, baju yang ditempah itu bukannya untuk kegunaan individu tetapi untuk kegunaan sekolah dan saya pun bengang apabila baju yang ditempah tak siap-siap sampai sekarang.

"Tak mahu terus tertipu, saya ambil keputusan buat laporan polis di Balai Polis Saujana Utama selepas ejen terbabit masih gagal menjelaskan deposit yang diminta,” katanya. Wan Mohd Asyraf berkata, apabila diselidik latar belakang ejen terbabit, barulah dia tahu tembelang sebenar yang sebelum ini dia pernah menipu seorang pelanggan bagi urusan sama.


- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment