Sunday, 19 January 2014

Judi haram dari telefon bimbit

Judi haram dari telefon bimbit
Bimbang ditahan pihak berkuasa kerana berjudi haram di pusat siber, kaki judi kini mengubah taktik dengan berjudi secara online melalui telefon bimbit masing-masing.


IPOH – Bagi mengelakkan daripada dicekup pihak berkuasa, kebanyakan kaki judi mengubah taktik dengan berjudi secara talian (online) melalui telefon bimbit dan komputer peribadi menggunakan aplikasi tertentu.

Ternyata operasi yang sering dilakukan oleh pihak berkuasa tidak mampu membanteras sepenuhnya kegiatan perjudian haram.

Menurut sumber, perjudian secara online menjadi pilihan kaki judi kerana dikatakan lebih mudah dan kurang risiko ditahan.

Katanya, untuk memulakan permainan, pemain perlu mendapatkan username dan kata laluan disediakan oleh pihak penganjur terlebih dahulu.

“Ini kerana sekiranya kita membuka laman web berkenaan, memang kandungannya seperti tiada apa-apa.

“Tetapi untuk menggunakannya, pemain perlu menghubungi nombor telefon yang hanya kaki judi judi 'berdaftar' sahaja yang mengetahui laman web itu serta dapat mengaksesnya,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, penganjur akan memantau sepenuhnya pemain yang mahu menggunakan lawan web itu dengan bertanyakan pelbagai soalan demi keselamatan bagi mengelak mereka dikesan pihak berkuasa.

“Mereka akan bertanyakan rakan yang mengesyorkan laman web serta username digunakannya sebelum memberi username kepada pelanggan baharu.

“Malah, pemain perlu masukkan wang ke dalam akaun disediakan sebelum memulakan permainan serta pemain akan menerima hadiah kemenangan menerusi  akaun bank,” jelasnya.

Beliau berkata, sindiket perjudian haram secara online sukar untuk dibanteras menyebabkan aktiviti itu semakin menular.

Pada masa sama, sebuah perniagaan salun di sini didapati turut menjalankan aktiviti perjudian berkomputer yang beroperasi 24 jam dengan pengawasan kamera litar tertutup (CCTV).

Premis yang mempunyai dua lapisan pintu masuk itu hanya dimasuki pelanggan tetap yang dikenal pasti menerusi CCTV di pintu hadapan premis terbabit.


Tinjauan Sinar Harian mendapati premis yang pernah diserbu polis pada Julai tahun lalu itu masih meneruskan operasinya dan masih dikunjungi kaki judi.
Aktiviti sukar dikesan


Rata-rata penduduk ditemui mengakui, kewujudan premis yang menawarkan aktiviti perjudian secara online agak sukar dikesan kerana berselindung di sebalik urus niaga lain seperti pusat komputer dan hiburan.

Haslinda Daud, 25, dari Lumut berkata, kelicikan pengusaha premis terbabit menyembunyikan aktiviti haramnya menyebabkan penduduk berhampiran tidak menyedarinya.

“Mereka juga kadang kala beroperasi pada waktu-waktu tertentu untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Sufian Ahmad, 37, dari Sungai Siput yang berkata, kebanyakan premis judi haram terletak di lokasi tersorok dan mempunyai pintu khas bagi membolehkan pelanggan melarikan diri ketika diserbu.

“Lebih menyedihkan, ramai orang Islam mengunjungi premis ini dan berhabis puluhan malah ratusan ringgit dengan bermain judi,” katanya.

Sufian mengakui kegilaan judi secara online tidak lagi terhad kepada orang dewasa apabila semakin ramai remaja mengunjungi pusat-pusat seperti itu.

Mohd Fauzi Mohd Sood, 41, dari Manjung pula berkata, kelicikan premis judi haram dalam menjaga perniagaannya  menyebabkan usaha membanteras seringkali gagal.

Katanya, premis judi ini dilengkapi CCTV untuk mengesan kehadiran pihak berkuasa.

“Hanya mereka yang dikenali sahaja dibenarkan masuk ke premis judi tersebut. Pelbagai taktik digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa termasuk berselindung di sebalik kafe siber," katanya.

Seorang penduduk dari Selama, Mohammad Afendi Rosli, 35, berkata, aktiviti judi online tidak hanya tertumpu di kawasan bandar malah wujud di pekan kecil seperti di Selama.

“Kita bimbang dengan aktiviti negatif ini sekiranya tidak dibendung akan menyebabkan jenayah anti sosial yang lain," katanya.

Pendapat itu disokong Siti Aishah Zulkarnain, 28, dari Karai yang memaklumkan, serbuan dan rampasan dibuat pihak berkuasa belum tentu menjamin aktiviti dapat dibanteras sepenuhnya.

Menurutnya, terdapat sebuah premis judi haram di kawasan itu yang pernah diserbu pihak berluasa tetapi tetap beroperasi semula.

“Kedudukan premis itu sangat terpencil dan kereta pun sukar untuk memasukinya. Kalau naik motosikal, baru senang untuk masuk,” katanya.

Mengulas isu sama, Irwan Ismail, 32, dari Taiping berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih peka dengan pertambahan pusat hiburan di kawasan pentadbirannya.

Katanya, kewujudannya perlu dibanteras hingga ke akar umbi seperti menutup operasi dan juga lesen perniagaan mereka ditarik semula.


“Masalah ini hanya akan memudaratkan terutamanya orang Islam. Sebagai contoh, ada juga sebahagian rumah judi, pekerjanya adalah dalam kalangan orang Melayu beragama Islam,” katanya.

- Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment