Diana Danielle
Farid Kamil
SEJAK menimang cahaya mata sulung pada Julai lalu, ramai pihak terutamanya peminat dan media menantikan pengarah dan pelakon terkenal, Farid Kamil serta Diana Danielle memperkenalkan anak mereka kepada umum.
Lalu menerusi beberapa pertemuan lalu, Farid memaklumkan tiada majlis berendoi dilakukan sebaliknya hanya akan ada majlis aqiqah bersama majlis khatam al-Quran isterinya diadakan sempena majlis memperkenalkan anaknya yang dikenali sebagai Muhammad kepada umum.
Namun enam bulan sudah berlalu dan tiada lagi khabar mengenai majlis yang dikatakan turut melibatkan Astro bakal diadakan.
Justeru kesempatan bertemu dengan Farid baru-baru ini, digunakan pihak media untuk bertanyakan perkembangan majlisnya.
“Majlis itu tetap diteruskan cuma bergantung pada tempoh Diana menghabiskan pembelajaran al-Quran. Sekarang ini Diana masih lagi sedang belajar mengaji bersama seorang ustazah dan dia perlukan sedikit masa lagi.
“Berkenaan Astro, saya tak boleh cakap apa. Saya pun tak pasti sebab tak ada apa-apa perbincangan,” jelasnya yang turut terkejut dengan penantian orang ramai yang mahu menyaksikan anaknya.
Dalam pada itu, Diana juga ditanya mengenai kenyataan Farid yang memberitahu akan mengadakan majlis aqiqah sebaik dia tamat belajar al-Quran menjelaskan, enggan terburu-buru untuk berbuat demikian kerana mahu benar-benar memahami dan menghayati maksud ayat yang dibacanya.
“Saya mula belajar (mengaji) sejak beberapa bulan lalu. Saya tak mahu tergesa-gesa nak habiskan belajar. Untuk apa saya nak cepat-cepat habiskan semata-mata nak perkenalkan anak saya pada umum. Jadi biar lah saya tamatkan secara pelahan-lahan”, katanya.
Akaun Instagram Muhammad
Biarpun sebelum ini Farid tidak mahu terlalu melebih-lebih menonjolkan anaknya, namun lain pula ceritanya kini apabila wujud sebuah akaun Instagram khas untuk anaknya yang diberi nama MuhammadFKDD.
Difahamkan akaun itu diwujudkan oleh pihak pengurusan.
Kata Farid, biarpun adanya akaun Instagram tersebut namun anaknya tetap eksklusif. Bahkan akaun itu dianggap sebagai ruang mengabadikan saat-saat manis anaknya yang sudah mencecah enam bulan itu menjalani proses pembesaran.
“Bagi saya, anak saya tetap eksklusif. Apa yang patut dikongsi, kami kongsikan. Akaun tersebut dibuat oleh pihak pengurusan isteri saya.
“Instagram ini ibarat ‘pasport to the world’. Ia juga sebagai ruang untuk saya dan isteri abadikan detik-detik anak kami menjalani proses pembesaran dari hari ke hari,” jelasnya lagi.
Diana kurus kerana anak
Sementara itu, ditebak mengenai penyusutan ketara berat badannya selepas enam bulan melahirkan Muhammad, Diana berkata:
“Sebenarnya berat badan saya sama sahaja. Mungkin saya nampak kurus dan agak susut kerana saya menyusukan Muhammad. Saya juga menjaga Muhammad dengan sepenuhnya.
“Kehadiran Muhammad buat hidup saya sangat indah. Usianya sekarang dah masuk enam bulan. Penat tu memang penat tapi seronok menjaga dan tengok dia membesar. Dari umur tiga bulan dia dah cuba-cuba nak berdiri dan dia suka gelak,” ujarnya.
Katanya lagi, semenjak bergelar ibu, dia sudah memperlahankan aktiviti lakonannya.
“Saya tak sedap hati nak tinggalkan Muhammad dalam tempoh yang lama. Dia masih kecil dan saya tak nak bawa dia sekali semasa saya jalani penggambaran.
“Oleh kerana itu sekarang saya memilih dari segi skrip dan watak. Kalau berbaloi, saya terima. Saya lebih rindu anak daripada rindu berlakon sebenarnya,” katanya yang enggan berlakon di bawah arahan suaminya.
Dalam pada itu, tatkala ditebak mengenai hubungannya dengan ibunya, Norsiah Ramli, Diana enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.
“Jangan sentuh mengenai hal itu,” katanya ringkas sambil membuat isyarat pangkah.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment