Hannah (empat, kanan) dan Evonne (lima, kanan) menunjukkan wisel yang diagihkan kepada golongan wanita di sekitar pasar pagi Seri Kembangan.
SERI KEMBANGAN – Tiup wisel apabila menjadi sasaran peragut atau perompak.
Itu cara diperkenalkan Wanita DAP Selangor dalam usaha mencegah kejadian ragut berlaku dalam kalangan masyarakat khususnya wanita.
Setiausaha Organisasi Wanita DAP Selangor yang juga Setiausaha DAP Serdang, Evonne Lee berkata, pihaknya mengedarkan kira-kira 1,000 wisel kepada masyarakat setempat sekitar Seri Kembangan bagi menyokong usaha pencegahan jenayah itu.
Katanya, beliau sedih kebanyakan kes ragut membabitkan wanita dan disebabkan panik, mereka tidak sempat menjerit meminta tolong.
Jelasnya, suara wanita yang perlahan juga menyebabkan ramai tidak sedar kejadian ragut berlaku berbanding dengan penggunaan wisel.
Disebabkan itu, pihaknya memperkenalkan inisiatif iaitu menggalakkan masyarakat membawa wisel ke mana sahaja dan meniupnya apabila menjadi sasaran penjenayah.
“Kes ragut yang berlaku baru-baru ini di Taman Bukit Belimbing dan Kampung Baru Seri Kembangan kedua-duanya membabitkan mangsa wanita, salah seorang daripadanya adalah warga emas.
“Mangsa menjerit meminta tolong, namun disebabkan jeritan tidak kuat, langsung tiada orang menghulurkan bantuan,” katanya.
Evonne berkata, pihaknya berharap dengan pengenalan program cegah jenayah itu dapat menghalang masyarakat daripada menjadi mangsa penjenayah.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya peka dan apabila terdengar bunyi wisel, segera menghulurkan bantuan kepada mereka yang menjadi mangsa.
Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan yang turut serta mengedarkan wisel di pasar pagi Seri Kembangan, kelmarin, berkata, bunyi wisel dapat menarik perhatian orang ramai yang berada berdekatan mangsa.
“Dengan wisel, senang untuk maklumkan kepada orang awam dan boleh dapat bantuan segera.
“Polis juga bersetuju ia mampu menghalang kejadian samun dan ragut,” katanya yang turut mengedarkan kira-kira 1,500 wisel kepada penduduk Subang Jaya, Rabu lalu.
No comments:
Post a Comment