Friday, 8 November 2013

Siren amaran tsunami di Tawau berfungsi dengan baik

Siren amaran tsunami di Tawau berfungsi dengan baik - Meteorologi

TAWAU:  Siren Amaran Awal Tsunami yang dipasang di perkarangan Masjid Al-Kauthar dekat sini pada tahun 2006 berfungsi dengan baik, kata Pegawai Meteorologi Tawau, Zamunah Zainal.

Katanya siren amaran itu dipasang di kawasan berkenaan bagi memberi amaran awal dan mesej kepada penduduk yang tinggal di persisiran supaya berjaga-jaga kemungkinan berlakunya Tsunami.

"Sirem amaran yang dikawal sepenuhnya oleh ibu pejabat di Petaling Jaya ini boleh didengar oleh penduduk yang tinggal antara satu hingga dua kilometer dari peralatan ini," katanya kepada pemberita selepas menguji peralatan itu di sini Khamis.

Katanya, pihaknya menjalankan pemeriksaan berkala ke atas siren berkenaan setiap tahun dan setakat ini, ia telah diperiksa pada Januari dan Jun lalu.

Zamunah berkata siren berkenaan mempunyai empat fungsi utama iaitu percubaan awal, menyampaikan mesej berwaspada kepada orang ramai, amaran Tsunami dan menarik balik amaran Tsunami.

Selain Tawau, siren seumpama itu turut dipasang di daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

BERNAMA 

No comments:

Post a Comment