Tuesday, 12 November 2013

Pelajar perubatan ditemui mati, muka hampir pecah

Aivern Loo
Aivern Loo

KUALA PILAH – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tertiarap di dalam bilik tidur ibu bapanya, di Taman Pilah Perdana, di sini, kelmarin.

Mayat Aivern Loo, 21, pelajar tahun ketiga jurusan perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditemui ibunya, Lee Tai Giok, 56, kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurut bapa mangsa, Loo Kwee Wah, 56, Aivern pulang untuk bercuti semester sejak 3 November lalu.

“Seperti biasa, saya dan isteri keluar rumah jam 7 pagi memandangkan saya bertugas sebagai Guru Penolong Kanan 1 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chung Hua, manakala isteri saya bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah. Ketika itu Alvern sedang tidur seorang diri di biliknya.

“Namun, pada jam 9 pagi semalam (kelmarin), saya dihubungi pihak pengurusan dekan UKM memaklumkan Aivern tidak hadir pada sesi perjumpaan di universiti berkenaan berkaitan keputusannya untuk bertukar jurusan,” katanya dekat sini.

Selepas itu, kata Kwee Wah, dia cuba beberapa kali menghubungi anaknya tetapi gagal.

Curiga dengan keadaan ini, Kwee Wah menyuruh isterinya segera pulang rumah untuk melihat keadaan Aivern.

"Sejurus tiba di rumah jam 12 tengah hari, isteri saya menemui Aivern dalam keadaan tertiarap dengan kepala berselubung plastik putih dan muka berlumuran darah di dalam bilik tidur kami di tingkat atas.

“Isteri saya membuka plastik di kepala Aivern, namun mendapati dia sudah tidak bernyawa sebelum menghubungi saya," katanya.

Sementara itu, Kwee Wah berkata, kejadian itu berkemungkinan ada kaitan dengan permohonan Aivern untuk menukar jurusan pengajian dalam bidang perubatan pada pertengahan Ogos, baru-baru ini.

“Kami menentang sekeras-kerasnya permohonan Aivern untuk menukar jurusan itu tetapi beberapa hari lalu kami mengalah dan bersetuju mengikut kehendaknya. Mungkin dirinya tertekan sehingga bertindak di luar batasan.

“Aivern merupakan anak sulung daripada dua beradik, sementara adiknya kini sedang menuntut di Universiti Malaya dalam jurusan perakaunan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati, tali pinggang yang diikat pada gril tingkap di bilik ibu bapa mangsa putus dan dipercayai mangsa menggantungkan diri di situ.

“Tali pinggang tersebut terputus menyebabkan muka mangsa tersembam ke lantai sehingga sebahagian mukanya hampir pecah.

“Tiada kecederaan lain ditemui dan kesemua pintu serta tingkap berkunci sebaik ibunya tiba di rumah, malah tiada kesan pergelutan ditemui. Keadaan di dalam rumah juga tidak berselerak dan tiada barang hilang,” katanya.

Katanya, kes masih disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment