Pelan reka bentuk Menara Maha setinggi 138 meter dengan keluasan 28.5 ekar bakal dibangunkan dan menjadi mercu tanda Langkawi menjelang 2015. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - PFCE Integrated Plant and Project (PIPP) hari ini memulakan kerja-kerja pemasangan cerucuk bagi Menara Maha, mercu tanda baharu Langkawi dan projek pembangunan pelancongan bersepadunya seluas 11.5 hektar di pulau peranginan itu.
PIPP merupakan jentera tujuan khas yang diperbadankan untuk melaksanakan pembangunan Menara Maha dan pembangunan komersial sekitarnya.
Acara berkenaan dirasmikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut PIPP dalam satu kenyataan hari ini, projek tersebut yang dijadual siap pada pertengahan 2015 dengan anggaran RM300 juta dalam nilai pembangunan kasar (GDV), dijangka meningkatkan lagi aliran masuk pelancong ke pulau peranginan itu.
"Menara ikonik setinggi 138 meter mempunyai bilik kawalan telekomunikasi pada ketinggian 111 meter, dan dek peninjau pada ketinggian 102 meter, dengan pemandangan Pulau Dayang," katanya.
Pembangunan komersial sekitarnya akan antara lain terdiri daripada pangsapuri berkhidmatan, hotel dan unit perniagaan.
Tapak bagi projek pembangunan ini kini melalui kerja-kerja penambakan.
Penasihat Khas PIPP, Datuk Abu Hassan Mohamed berkata, selain menjadi mercu tanda di Langkawi, pembangunan itu juga akan menarik aktiviti ekonomi yang positif ke Langkawi dan negeri Kedah.
BERNAMA
No comments:
Post a Comment