Tuesday, 5 November 2013

Dalang sindiket palsu pas kerja

Dalang sindiket palsu pas kerja ditahan

Jabatan Imigresen Johor menahan seorang lelaki warganegara India berusia 44 tahun yang disyaki dalang sindiket pemalsuan pas lawatan kerja sementara di sebuah premis di Taman Sri Puteri, Skudai.

Dalam serbuan pada 2.30 pagi selepas intipan sebulan itu, jabatan tersebut turut menahan 42 warganegara India dan seorang warganegara Nepal yang sedang menunggu pas palsu disiapkan.

Ketua Penyelaras Ops Bersepadu 6P Masri Adul berkata siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi hampir setahun dengan premis itu dijadikan tempat transit pekerja asing yang mendapatkan pas itu dengan bayaran RM8,400 seorang.

"Modus operandi yang digunakan mereka mudah, ejen akan membawa pekerja dari India dengan menggunakan pas lawatan sosial dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Mereka bergerak ke Johor dengan menaiki bas pada waktu yang ditetapkan ejen mereka, ia bagi mengelak pihak berkuasa dan tinggal di tempat transit selama seminggu untuk mendapat pas palsu sebelum dihantar ke kilang-kilang atau premis yang memerlukan pekerja asing," katanya dalam sidang akhbar.

Masri berkata siasatan awal juga mendapati ada pihak majikan bekerjasama dengan ejen untuk mendapatkan bekalan pekerja asing tanpa melalui Jabatan Imigresen bagi menjimatkan kos tanpa perlu membayar levi dan pemeriksaan kesihatan.

Pihak jabatan akan membuat siasatan terhadap kilang yang dipercayai bekerjasama dengan ejen terbabit, katanya.

Masri berkata dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 81 pasport, dakwat, komputer, mesin pencetak dan sebuah kereta yang digunakan sindiket itu.

Kesemua yang ditahan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah akan dihantar ke depoh tahanan di Pekan Nanas, Pontian untuk siasatan, katanya.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment