Saturday, 5 October 2013

Sindiket 'gores dan menang' sasar warga emas

PPIM


KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini meminta pengguna, terutama warga emas, agar berwaspada dengan sindiket penipuan 'gores dan menang' yang masih menular ibarat penyakit di negara ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya mendapati sindiket sedemikian yang wujud di negara ini sejak 30 tahun lalu, aktif di bandar raya utama dan berpusat di ibu negara.

Mereka menyasarkan warga emas kerana golongan ini dilihat kurang berpengetahuan tentang kepenggunaan, jadi senang ditipu, katanya ketika ditemui Bernama di Forum Pengguna III-2013 Ke Arah Kesejahteraan Pengguna 'Masalah Pengguna, Masalah Kami, Masalah Negara' di sini.

Forum dua hari yang bermula hari ini itu bersempena Pameran Halal Fiesta 2013 (Halfest 2013) merupakan anjuran bersama PPIM dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Contoh kes yang pernah PPIM terima melibatkan seorang warga emas yang terpaksa menjual rumah akibat terpedaya dengan penipuan 'gores dan menang' dan sekarang terpaksa menanggung hutang kira-kira RM600,000.

"Kes ini masih lagi tidak dapat diselesaikan memandangkan tidak mempunyai bahan bukti yang mencukupi," katanya.

Sementara itu, Nadzim berkata, PPIM mengenal pasti 30 masalah utama yang membebani kehidupan seharian masyarakat berdasarkan aduan pengguna kepada pihaknya di seluruh negara.

"Antara masalah terbesar ialah 'Along' iaitu pinjaman berlesen tanpa etika yang menekan dan menggunakan ugutan, kekerasan bagi menakutkan peminjam yang jahil, serta skim cepat kaya atau piramid.

"Bagi tempoh Jun tahun lepas sehingga Julai lalu, PPIM terima 1,893 kes melibatkan 'Along', manakala skim cepat kaya atau piramid pula 1,457 kes," katanya.

Pada majlis hari ini, PPIM juga bertukar memorandum kerjasama dengan UniKL, iaitu untuk menjalin hubungan pintar bagi mendedahkan pelajar UniKL kepada kepentingan menjaga hak sebagai pengguna.


- Bernama

No comments:

Post a Comment