Rashid melihat keadaan atap rumahnya selepas pokok mata kucing tua itu tumbang.
MARANG - Tiga beranak nyaris maut apabila sebatang pokok tua menghempap atap rumah mereka dalam kejadian ribut di Jalan Cerang Seketuk di Kampung Wakaf Tapai di sini, kelmarin.
Mangsa, Rashid Mat Zain, 51, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, keadaan cuaca hujan lebat berserta angin kencang.
Menurutnya, ketika kejadian, dia dan isteri, Siti Dewi Ismail, 44, serta anak mereka, Mohd Tarmizi, 26, sedang tidur sebelum pokok itu tumbang menimpa atap rumah mereka.
“Apabila kejadian itu berlaku, kami menyangka ia adalah bunyi kilat yang kuat, namun selepas anak memeriksa rupa-rupanya atap bahagian tepi rumah kami sudah ranap ditimpa pokok mata kucing berusia lebih 20 tahun itu,” katanya.
Sementara itu Siti Dewi berkata, mereka tiga beranak bernasib baik kerana pokok tersebut tidak tumbang menghempap bahagian atap bilik tidur.
“Saya turut terjaga dari tidur selepas bunyi dentuman kuat itu kedengaran. Anak turut mengejutkan kami sebelum dia turun untuk melihat keadaan kerosakan yang berlaku selepas pokok mata kucing itu tumbang,” katanya.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku akibat kejadian itu dan berharap ada pihak yang dapat menghulurkan bantuan untuk membaiki semula atap rumah mereka yang rosak. “Suami saya hanya melakukan pelbagai pekerjaan di kampung ini dan tidak mampu untuk membaikinya dalam masa terdekat ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan (JKKK) Wakaf Tapai, Sulong Ismail, 69, berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada pihak berkaitan untuk mendapat bantuan daripada peruntukan Tabung Darul Iman bagi membantu mangsa.
Sumber
No comments:
Post a Comment