Friday, 11 October 2013

Kopi luwak yang dihasilkan daripada najis musang!

Kopi luwak, musang jadi mangsa
Musang dipaksa makan biji kopi pada jumlah yang banyak setiap hari bagi memastikan kapasiti najis untuk menghasilkan pengeluaran kopi luwak dapat ditampung.


PENGEMAR kopi pastinya mengetahui asal usul kopi luwak. Kopi paling mahal itu dikatakan mampu mencecah harga sehingga 60 pound (RM307) secawan atau 300 pound (RM1,500) sekilo di Harrods, London.

Namun, ramai tidak mengetahui bagaimana kopi itu dihasilkan.

Kopi luwak dihasilkan melalui najis musang Asia yang banyak terdapat di Indonesia dan Filipina. Najis dan biji itu kemudiannya, diasingkan dan kopi tadi dipanggang bagi menghasilkan aroma menarik, tidak berasid dan rasanya lebih lembut.

Seorang pengusaha kopi luwak di Indonesia menjelaskan, musang biasanya disimpan dalam sangkar selama kira-kira tiga tahun bagi menggelakkan terdedah kepada asap rokok dan diberi nutrisi serta vitamin terbaik.

Siaran BBC baru-baru ini mendedahkan, musang-musang itu dikurung dalam kandang kotor dengan ruangan terhad.

“Musang-musang ini bakal mengalami tekanan mental akibat dikurung selama tiga tahun. Dalam usaha mengekalkan permintaan kopi di pasaran antarabangsa, sedarkah kita bahawa musang-musang ini menjadi mangsa,” menurut laporan berkenaan.

Jurucakap pengedar kopi Sari Makmur berkata, mereka tidak boleh membebaskan musang-musang itu kerana tidak boleh melanggar polisi syarikat.

“Kami perlu memastikan musang terjaga demi mengekalkan hasil permintaan kopi di pasaran Britain dan Eropah,” katanya dipetik Daily Mail

Aktivis haiwan Britain, Mimi Bekhechi menyelar tindakan itu dan menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan serta kejam.

“Kami sarankan Harrods selaku mengimport utama perlu memboikot syarikat pengeluar yang tidak menyediakan tempat selesa untuk musang-musang ini.

Jangan hanya kerana ingin mengaut keuntungan, nasib haiwan-haiwan ini tergadai,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment