IPOH - Mayat dua lelaki ditemui dalam keadaan kaki dan tangannya diikat serta muka ditutup dengan plastik lut sinar di dalam but sebuah kereta di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Alor Pongsu, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat Bagan Serai, sini hari ini.
Mayat Ting Liong Chin, 28, yang berasal dari Cheras dan Seu Hong Chee, 19, dari Kepong, Kuala Lumpur, ditemui dalam but kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu kira-kira pukul 4.05 petang tadi.
Menurut seorang pekerja di hentian itu yang enggan dikenali, beliau melihat kereta itu dalam keadaan mencurigakan selepas terhidu bau busuk dan terdapat banyak lalat di kereta berkenaan.
"Kereta yang berkunci ini berada di sini sejak pukul 7.30 petang semalam. Saya tidak pasti siapa yang tinggalkan kereta di sini dan melaporkan perkara itu kepada polis," katanya.
Polis telah memecah tingkap kereta berkenaan untuk membuka but kereta sebelum menemui dua mayat berkenaan, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment