Monday, 9 September 2013

'Wang dan kuasa antara faktor ramai belia jadi ahli kongsi gelap'


Wang dan kuasa menyebabkan ramai belia dilihat begitu terjerumus menjadi ahli dalam kumpulan haram atau kumpulan kongsi gelap.

Menurut Presiden Majlis Belia India Malaysia, Reghu Devan Lopez apabila kurangnya kasih sayang dan perhatian diberikan dari keluarga, maka belia-belia ini akan cuba mencari perhatian dari rakan-rakan yang lain.

“Maka dari situlah mereka mula terjerumus menjadi ahli kongsi gelap dan apabila menjadi anggota kumpulan ini, mereka mampu mendapatkan wang yang banyak melalui kegiatan jenayah melalui pemerasan, pengedaran dadah dan sebagainya,” kata Reghu.

Reghu yang juga merupakan bekas anggota kongsi gelap berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan bual bicara Sudut Pandang terbitan Astro Awani di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul dan dihoskan oleh wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail dan aktivis politik, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, seorang ahli kongsi gelap yang hanya mahu dikenali sebagai Jack, 22, pula berkata kesetiaannnya kepada kawan-kawan yang menjadi anggota kongsi gelap menyebabkan dia begitu berminat untuk terus menjadi ahli kongsi gelap.

“Bukanlah kita ini tiada musuh, namun jika berjalan di mana-mana pasti akan ada ‘sokongan’ dari teman-teman anggota kongsi gelap jadi keselamatan diri tidaklah perlu risau,” kata Jack

Dalam program yang sama juga, seorang peguam Richard Wee yang mewakili badan bukan kerajaan, Safer Malaysia berpendapat kajian terhadap masalah jenayah kongsi gelap ini bukanlah terjadi kerana pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang diumukan oleh kerajaan tetapi ianya sudah pun menjadi permasalahan negara sejak dahulu lagi. - Astro Awani 

No comments:

Post a Comment