Saturday, 28 September 2013

Rahsia di sebalik rumah banglo

Rahsia di sebalik rumah banglo
Zainal (dua, kiri) melihat kertas pengiraan nombor ekor haram yang dirampas dalam serbuan berkenaan.


Polis menumpaskan sindiket perjudian nombor ekor haram dalam satu serbuan di sebuah rumah banglo di Seremban 2, di Seremban, Rabu lalu.

Serbuan kira-kira 7 malam itu dilakukan sepasukan anggota polis dan berjaya menahan tiga wanita tempa-tan berusia lingkungan 20-an di dalam rumah yang disewa itu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan anggotanya.

“Rumah banglo yang disewa sejak tiga bulan lalu itu dijadikan sebagai pusat penjumlahan nombor ekor daripada pusat nombor ekor haram di negeri ini.

“Ketika serbuan, tiga wanita tersebut sedang sibuk melakukan pengiraan kertas jualan nombor ekor di dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, nilai pertaruhan sindiket tersebut dipercayai sebanyak RM60,000 sehari dan menawarkan hampir RM180,000 hingga RM200,000 bagi tempoh seminggu.

“Kita turut merampas sebuah komputer riba, dua mesin pengimbas, tiga mesin faks, telefon dan beberapa kalkulator.

“Bagaimanapun, tiada sebarang wang taruhan ditemui berikutan rumah tersebut dijadikan sebagai pusat penjumlahan nombor ekor sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, semalam.

Zainal berkata, ketiga-tiga wanita itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

“Kita akan menyiasat sama ada wanita ini merupakan orang digaji ataupun ahli sindiket. Kita juga akan menyiasat individu lain yang terlibat dalam kegiatan ini.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 4 A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menggiatkan lagi usaha membanteras kegiatan judi haram termasuk judi siber di negeri ini.

“Kerjasama orang ramai amatlah kami harapkan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan jenayah ini,” katanya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment