Cave (kiri) bersama Nurolamin selepas taklimat kerjasama Schneider Electric dan KFM Holdings untuk menaiktaraf pejabat PM menjadi bangunan cekap tenaga.
PAKAR pengurusan tenaga global, Schneider Electric menjalin kerjasama dengan KFM Holdings Sdn Bhd untuk mengubah pejabat perdana menteri (PMO) menjadi bangunan cekap tenaga menjelang Mei 2014.
Ketua Pegawai Eksekutif KFM Holdings Nurolamin Abas berkata, syarikatnya memulakan pengubahsuaian itu sejak Oktober 2011 dengan nilai pelaburan RM110 juta. “Pembinaan fizikal projek PMO itu dijangka siap menjelang akhir tahun ni.
“PMO akan menerima sijil indeks bangunan hijau (GBI) oleh Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia (MGBC) yang juga merupakan pensijilan tertinggi bagi standard bangunan hijau,” katanya selepas taklimat kerjasama di antara kedua-dua syarikat itu, di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, menerusi projek itu, KFM berupaya mengintegrasi penghawa dingin, lampu, alat pengesan dan meter kuasa menggunakan sistem pengurusan bangunan Schneider dan menawarkan data pintar supaya keputusan bijak dapat dibuat bagi penggunaan tenaga.
Katanya, penjimatan tenaga dapat dikurangkan sehingga 40 peratus atau RM2 juta setahun apabila projek itu selesai dan digunakan nanti.
Katanya, projek PMO akan menjadi projek perintis bagi bangunan kerajaan di Asia.
Sementara itu, Presiden Schneider Electric Malaysia Peter Cave berkata, kerjasama itu menjadi platform membina kesedaran, pengetahuan dan kepakaran untuk mengubahsuai lebih banyak bangunan hijau dan cekap tenaga bagi membantu menjadikan negara hijau pada masa akan datang.
- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment