Friday, 6 September 2013

Isu minyak naik - Kerajaan perlu potong gaji menteri dan timbalan menteri untuk penjimatan: Perkasa

Perkasa: Kerajaan perlu potong gaji menteri dan timbalan menteri untuk penjimatan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), menggesa kerajaan supaya memotong gaji pegawai tinggi kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri dari lima hingga 10 peratus sekiranya ingin mengurangkan perbelanjaan negara, lapor Bernama.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dialporkan sebagai berkata cadangan itu dibuat selaras dengan pengurangan subsidi minyak yang menyebabkan harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen bermula 3 September lepas.

"Sepatutnya potongan gaji ini dilakukan serentak dengan pengurangan subsidi minyak RON95 sebanyak 20 sen, maka tentu rakyat boleh rasakan inilah tindakan yang betul dan rakyat boleh terima beban yang sedikit ini," kata Ibrahim.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan Ibrahim berkata kerajaan seharusnya turut melaksanakan langkah berjimat cermat dan bukan hanya memotong subsidi minyak untuk mengurangkan defisit negara.

Ibrahim juga dipetik sebagai berkata semasa mengumumkan pemotongan subsidi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu turut mengumumkan program penjimatan dalam agensi-agensi kerajaan.

"Perlulah ada penjimatan kos daripada sebelah kerajaan, selain itu majlis-majlis yang menggunakan wang rakyat juga perlu dikurangkan," kata Ibrahim dalam satu sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada Khamis.

Katanya Perkasa mendapat maklum balas daripada rakyat yang rata-ratanya gelisah.

"Kalau kerajaan mahu kurangkan defisit negara, beliau sepatutnya serentak mengumumkan penjimatan belanja negara dalam agensi-agensi kerajaan," katanya.

Ibrahim juga mendesak kerajaan supaya lebih menekankan program-program yang lebih produktif dan bukannya berbelanja kepada perkara yang membazir dan tidak bermanfaat.

"Malah pada saya, perayaan Hari Kemerdekaan itu penting, tapi kalau boleh dikurangkan kos dan ditumpukan kepada perayaan-perayaan yang lebih mendatangkan semangat jati diri.

"Ini kira sesetengah perbelanjaan ini tidak produktif, jadi kita cadangkan supaya ada penjimatan," katanya lagi.

Sementara itu, Perkasa menyifatkan cadangan untuk membenarkan kepulangan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini hanya akan 'melukakan hati' rakyat.

Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin berkata pengkhianatan Chin Peng dan kekejaman komunis sehingga menyebabkan rakyat hidup menderita serta ribuan menjadi korban semasa zaman darurat tidak boleh dilupakan.

"Kita berpendapat bahawa tangan Chin Peng ini berlumuran dengan darah rakyat Malaysia, bukan sahaja Melayu, tetapi Cina, India dan lain-lain.

"Banyak hati yang akan terluka sekiranya kita membawa balik atau membenarkan Chin Peng pulang," katanya pada sidang media di sini.

Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini meminta kerajaan supaya membenarkan Chin Peng dan anggota PKM yang dilarang memasuki negara ini untuk pulang ke tanah air dan berkata waris keluarga yang dizalimi pengganas komunis akan memaafkan mereka.

Gesaan Karpal itu dibuat selepas bekas Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas Tan Sri Yuen Yuet Leng, membuat kenyataan sama seperti dilaporkan media sebelum ini.

Zulkifli berkata sekiranya Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia, bekas pemimpin PKM itu masih perlu dibicarakan atas kesalahan dan pengkhianatannya sebelum ini.

- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment