Thursday, 26 September 2013

Gara-gara banduan terlepas: 3 anggota polis didakwa

SEREMBAN - Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana didakwa bersubahat dan cuai membiarkan seorang tahanan kes dadah melarikan diri dari di Kawasan Rehat Plaza Tol Setul, Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas), Nilai, 1 September lalu.

Lans Koperal Nizar Azizi Alwi, Koperal Ismail Jamil dan Konstabel Nashrul Azlan Mohammad bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohamad Izman Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, Nizar Azizi, 30, didakwa bersubahat dengan tahanan berkenaan, Kishminderjit Singh, 39, menyerahkan RM1,000 kepada tahanan berkenaan untuk diberikan kepada Ismail dan Nashrul sebagai sogokan bagi membolehkan suspek meloloskan diri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokap Balai Polis Mantin, Nilai antara jam 11 malam 31 Ogos hingga jam 3 pagi, 1 September 2013.

Nizar Azizi didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ismail, 50, dan Nashrul Azlan, 24, didakwa secara bersama atas kecuaian mengakibatkan Kishminderjit Singh terlepas dari kurungan di tempat parkir berhadapan tandas awam Kawasan Rehat Plaza Tol Setul, Lekas kira-kira jam 7.50 pagi hingga 10.55 pagi pada 1 September.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama, di mana jika terbukti bersalah boleh dijatuhi hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammed Zainudin kemudiannya meminta mahkamah membebaskan Nizar Azizi dengan ikat jamin RM4,000 manakala Ismail dan Nashrul Azlan pula RM2,000 setiap seorang.

Namun, selepas mendengar dan mempertimbangkan permohonan peguam bela ketiga-tiga tertuduh, mahkamah membenarkan Nizar Azizi diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment