Tuesday, 6 August 2013

Perkasa: Tarik balik kerakyataan Namewee


Perkasa: Tarik balik kerakyataan Namewee

KUALA LUMPUR:  Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) mendesak supaya kerajaan menarik balik kerakyataan penyanyi rap, Wee Men Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee yang disifatkan semakin biadap dan kurang ajar.

Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abdul Rahman Bakar menegaskan kerajaan tidak boleh lagi berlembut dengan remaja kelahiran Johor ini kerana sering membuat kenyataan dan video yang mengguris hati rakyat malaysia khususnya orang Melayu.

Katanya, Perkasa kesal dengan sikap pihak berkuasa yang terlalu banyak memaafkan pihak yang membuat kenyataan menghina agama Islam dan bangsa Melayu hingga dilihat semakin ramai berani membuat kenyataan dan video yang mengguris hati.

"Kita (Perkasa) lihat akibat sikap berlembut kerajaan dengan meminta pihak yang membuat kontroversi ini memohon maaf akhirnya makin ramai yang biadap dan kurang ajar.

"Jadi sudah cukup dengan minta supaya mohon maaf, Perkasa desak tindakan tegas diambil segera supaya tidak ada lagi pihak yang berani membuat kenyataan atau video yang menguris perasaan orang Melayu," katanya pada sidang media di sebuah hotel petang semalam.

Abdul Rahman berkata beliau bimbang jika kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang biadap itu, rakyat akan bertindak sendiri dengan membelakangkan undang-undang negara.

"Namewee bukan pertama kali membuat video yang menguris perasaan orang Melayu dan biadap terhadap kerajaan tetapi tidak ada tindakan dikenakan.

"Sebelum ini Namewee hina lagu Negaraku, kita mintak dia mintak maaf dan lepaskan, kali ini dia pertikai keputusan kerajaan tangguh tanyangan filem New Village, dia sudah melampau, tarik balik kerakyataan orang seperti ini," katanya lagi.

Abdul Rahman dalam sidang media itu juga berkata Namewee menjadi semakin berani atas kelemahan sendiri.

"Saya tidak sanggup perkara ini berterusan, bangsa, agama, Rukun Negara dihina dan tidak lagi diberi perhatian.

"Sikap yang berlaku sudah melebih-lebih, tiada rasa hormat dan harmoni, jadi kenapa kita nak berterusan begini," katanya.

Menerusi video terbarunya berjudul '017 Double Standard' selama lima minit 23 saat, Namewee mempersoalkan tindakan kerajaan menggantung tayangan filem The New Village untuk dinilai oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Tindakan itu telah menerima kritikan keras daripada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan Namewee sebagai "budak bodoh, berhingus, dan buta sejarah".

Namewee dalam videonya yang dimuat naik YouTube juga memaki-hamun pelbagai pihak berhubung penangguhan filem The New Village.

Nazri juga mengingatkan Namewee  bahawa dia tinggal di sebuah negara berbilang kaum yang penuh dengan sensitiviti yang perlu dihormati.

"Saya pun hendak hentam dia habis-habisan. Dia budak yang tidak tahu sejarah, budak yang bodoh, berhingus dan tidak faham tentang sejarah negara kita. Hidup dalam sebuah negara berbilang kaum, kita harus mengambil kira sensitiviti dalam negara.

"Dia kena ingat, polis dan angkatan tentera telah membela negara kita. Jangan esok kalau apa-apa berlaku kepada dia, polis tidak mahu ambil tindakan, dia marah pula," kata Nazri.-- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment