Tuesday, 6 August 2013

Anggota tentera parah, isteri maut dalam kemalangan di Jertih

BESUT: Seorang anggota tentera parah manakala isterinya maut apabila kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta juga dinaiki satu keluarga tentera di Km113, Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu dekat Kampung Bukit Yong, Jertih awal hari ini (5 Ogos 2013).

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, Nurul Huda Shaera Ahmad, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.

Koperal Mardi Ahmad , 28, dari Kem 18 Melayu Diraja Seberang Takir, Kuala Terengganu yang cedera parah kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya pemandu sebuah lagi kereta Kapten Shahrul Hesham Md Yasmin, 34, dari Kem 21 Askar Melayu Pengkalan Chepa, Kelantan serta isteri dan dua anaknya hanya cedera ringan.

Kamaruddin berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Honda Civic dipandu Mardi hilang kawalan di satu selekoh tajam sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian kiri kereta Proton Saga dipandu Shahrul Hesham.

Mereka dikatakan dalam perjalanan untuk pulang berhari raya iaitu Mardi ke Kampung Sokor, Tanah Merah, Kelantan manakala Shahul Hesham dan keluarganya ke Kuala Terengganu.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment