Wednesday, 7 August 2013

DBKL jawab isu CCTV, akui 60 peratus tidak berfungsi

DBKL jawab isu CCTV, akui 60 peratus tidak berfungsi

KUALA LUMPUR:  Vandalisma merupakan punca kegagalan fungsikamera litar tertutup (CCTV) selain kamera sedia ada tidak diselenggarakan dengan baik.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengakui 60 peratus daripada 419 CCTV yang dipasang hanya sekadar hiasan dan tiada fungsi.

Mengatasi masalah ini, Ahmad Phesal  berkata pihaknya melantik kontraktor baru bagi kerja membaik pulih.

"Ia melibatkan penggantian, penyelenggaraan, dan penyewaan pihak kami dengan mereka. Kami perlu sewa peralatan-peralatan kerana kita kena faham bahawa peralatan-peralatan ini cepat 'obselete' dan cepat melangkaui usia. Jadi kami meminta mereka menggantikannya dan susulan itu akan ada unsur-unsur penyewaan yang berterusan," kata beliau.

DBKL berpendapat kaedah itu akan memastikan syarikat pemasangan  CCTV sentiasa mengikut arus teknologi terkini.

Kontraktor sama juga diberi tanggungjawab memasang 1,200 CCTV menjelang akhir tahun ini dengan kerja-kerja pemasangan dimulakan sejak Mac lepas.

DBKL juga akan  memastikan penyelenggaraan dilakukan mengikut jadual.

"Kami akan gunakan merit ini untuk menilai keberkesanan dan juga kesempurnaan CCTV ini untuk kita membuat penilaian dan pembayaran kepada mereka. Dengan adanya kawalan dari segi merit terhadap peralatan-peralatan ini pihak, kontraktor perlu memberi perhatian yang serius terhadap penyelenggaraan.”

Walaupun ia melibatkan kos RM1.9 juta, CCTV berkenaan mempunyai keupayaan merakam lebih baik.

"Dari segi kameranya kita akan tingkatkan kapasisi untuk zoom hinggakan ia boleh nampak orang yang kami hendak fokus seperti mukanya dan sebagainya,” kata Ahmad Phesal.

Pada masa sama, DBKL menjalinkan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia mengenai lokasi pemasangan CCTV bagi tujuan pencegahan jenayah.
- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment