Sunday, 3 May 2015

Bayi lapan bulan meninggal dunia dipercayai didera keluarga angkat


Mangsa, Muhamad Ammar Abd Aziz menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.04 petang

ALOR SETAR: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh keluarga angkatnya, lewat petang tadi.

Mangsa, Muhamad Ammar Abd Aziz menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.04 petang ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas dirujuk dari Hospital Jitra dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami sawan.

Difahamkan, bayi berkenaan dipindahkan ke HSB pada jam 11.55 pagi bagaimanapun mangsa meninggal dunia pada jam 4.04 petang.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, pihaknya menerima panggilan daripada pakar perubatan di Hospital Jitra yang memaklumkan pemeriksaan ke atas bayi berkenaan menemui kesan lebam di bahagian kepala, badan dan kaki.

Selain itu, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan luka lama pada paha kanan manakala tulang selangka kiri mangsa patah.

Berikutan itu, pihak polis menahan pasangan suami isteri berusia 30 dan 40 tahun yang berasal dari Jitra dipercayai keluarga angkatnya untuk siasatan lanjut.

Menurut Mohd Nashir lagi, siasatan dilakukan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk bedah siasat.

- Sumber: Astro Awani 

Pasangan diraja Britain Kate dan William sambut bayi perempuan

Isteri Putera William, Kate selamat melahirkan bayi dan Puteri Cambrige yang baharu ini akan menjadi pewaris keempat takhta diraja Britain. -Gambar fail

LONDON: Isteri Putera William, Kate Middleton selamat melahirkan bayi perempuan pada Sabtu, dan terus mencetuskan keraian dengan kelahiran seorang puteri yang akan menjadi pewaris keempat takhta diraja Britain.

“Duchess of Cambridge selamat melahirkan bayi perempuan pada 8.34 pagi (waktu London),” umum Istana Kensington yang merupakan kediaman rasmi pasangan diraja itu, dalam satu kenyataan.

Ibu dan anak “dalam keadaan selamat,” tambah kenyataan itu.

Putera William berada di sisi Kate dan ahli keluarga diraja telah dimaklumkan tentang berita ini, dimana ia mula diumumkan di Twitter.

Bayi yang akan dikenali dengan gelaran Puteri Cambridge dilahirkan seberat 3.7 kilogram dan bakal menjadi pewaris takhta selepas abangnya Putera George, dan di bawah anak Ratu Elizabeth iaitu Putera Charles dan anak sulung Charles, Putera William.

Nama yang popular di kalangan kaki judi di Britain adalah Alice dan Charlotte.

Pasukan media dari seluruh dunia bergerak ke hospital St Mary’s pada awal pagi, menyertai pengikut-pengikut ahli keluarga diraja Britain yang telah berkampung lebih dari seminggu.

“Mereka terus menjerit setelah mendapat tahu tentang kelahiran seorang puteri dan terus menjerit: “Bayi perempuan! Bayi perempuan!”

“Saya begitu teruja,” kata Margaret Tyler, 71, yang memakai jaket berwarnakan bendera Union Jack dan juga satu lencana yang terpapar potret Puteri Diana, ibu kepada putera William.

“William inginkan seorang bayi perempuan dan Diana juga pernah mahukan seorang bayi perempuan. Saya rasa ia amat bagus untuk George untuk ada seorang adik perempuan,” katanya.

Seorang lagi penyokong keluarga diraja John Loughrey berkata: “Saya begitu gembira. Saya begitu gembira untuk kerabat diraja.”

Istana Kensington berkata Kate dimasukkan ke hospital pada jam 6 pagi dan diiringi Putera William.

Perdana Menteri Britain David Cameron turut mengucapkan tahniah menerusi Twitter.

“Tahniah kepada Duke dan Duchess of Cambridge. Saya begitu gembira buat mereka,” tulis beliau.

Sementara itu beberapa minit setelah mendapat berita bahawa Kate dimasukkan ke hospital untuk menunggu saat bersalin, hashtag #royalbaby terus menjadi trending dan lebih ramai berkumpul di hadapan hospital berkenaan.

“Saya dengar di radio dan saya terus datang ke sini,” kata Michelle Lassiter yang datang dari kawasan Guilford di London.

William dan Kate merancang untuk menghabiskan masa di Istana Kensington untuk beberapa hari setelah kelahiran bayi itu.

Mereka kemudian akan ke Anmer Hall, di kawasan Sandringham di Norfolk milik Ratu Elizabeth dimana mereka telah membina sebuah rumah di kawasan itu.

Nama bayi itu tidak akan didedahkan untu beberapa hari lagi.

Nama putera Williamsebelum ini juga tidak didedahkan sehingga seminggu selepas kelahirannya dan dunia harus menunggu sebulan untuk mengetahui nama Putera Charles.

George dinamakan hanya dua hari selepas kelahiran.

Pakar berkata kelahiran puteri diraja ini akan menyuntik jutaanringgit untuk ekonomi Britain, kerana seorang Puteri dijangka akan menjadi ikon fesyen.

- Sumber: Agensi