Thursday, 2 October 2014

Model terbaharu Proton Iriz, kereta elektrik hasil usaha sama dengan LG Electronics

Proton sedang bekerjasama dengan LG Electronics dalam penghasilan model terbaharu kereta elektrik Proton Iriz.

Kerjasama tersebut dipertontonkan kepada umum melalui akaun Facebook Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato Sri Mustapa Mohamed yang membuat lawatan ke kilang LG di Korea.

Mustapa menghadiri taklimat mengenai kereta elektrik Proton Iriz yang dikatakan boleh dipandu sehingga 240 kilometer dengan hanya sekali cas.

Melalui foto yang dimuat naik, Mustapa juga berkesempatan memandu uji keluaran terbaharu Proton Iriz.


Mustapa ketika sesi memandu uji model terbaharu Proton Iriz. -Facebook Dato Sri Mustapa Mohamed

Beliau bersama-sama dengan jurutera LG berbincang mengenai pelbagai model Proton yang dihasilkan dengan usahasama pihak LG.

Proton Iriz elektrik ini disokong oleh hibrid dan elektrik powertrains.

Difahamkan, kereta elektrik Proton Iriz ini akan berada di pasaran pada hujung tahun depan, namun ia belum disahkan lagi oleh pihak Proton.

Sebelum ini, Parlimen pernah memberitahu bahawa Proton akan perkenalkan kenderaan elektrik pada 2014.

- Sumber: Astro Awani

Kanak-kanak enam tahun maut jatuh dari tingkat 13 di Putrajaya

Megat Arif Hussein Megat Irwan dipercayai terjatuh ketika bapanya berada di bahagian bawah pangsapuri untuk mengambil ibunya.

PUTRAJAYA: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Presint 5 di sini semalam.

Dalam insiden kira-kira pukul 11 malam itu, Megat Arif Hussein Megat Irwan dipercayai terjatuh ketika bapanya berada di bahagian bawah pangsapuri untuk mengambil dan menguruskan ibunya seorang Orang Kelainan Upaya untuk naik ke rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata sebelum kejadian, mangsa bersama ayah serta ibunya baru pulang dari makan malam di kawasan berhampiran.

"Mangsa didukung oleh ayahnya untuk di bawa naik ke rumah kerana beliau sedang tidur manakala ibunya yang menggunakan kerusi roda menunggu di bawah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata selepas menghantar dan mengunci rumah, ayah mangsa turun semula ke bawah untuk mengambil ibunya yang lumpuh sebelum dimaklumkan jiran yang menemui mangsa di kawasan bawah perumahan terbabit.

Ayah mangsa terus membawa anaknya ke Hospital Putrajaya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam kemudian, katanya.

Katanya hasil bedah siasat yang dilakukan hari ini mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman kerana terjatuh dari tempat tinggi.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-Sumber: Bernama