Megat Arif Hussein Megat Irwan dipercayai terjatuh ketika bapanya berada di bahagian bawah pangsapuri untuk mengambil ibunya.
PUTRAJAYA: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Presint 5 di sini semalam.
Dalam insiden kira-kira pukul 11 malam itu, Megat Arif Hussein Megat Irwan dipercayai terjatuh ketika bapanya berada di bahagian bawah pangsapuri untuk mengambil dan menguruskan ibunya seorang Orang Kelainan Upaya untuk naik ke rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata sebelum kejadian, mangsa bersama ayah serta ibunya baru pulang dari makan malam di kawasan berhampiran.
"Mangsa didukung oleh ayahnya untuk di bawa naik ke rumah kerana beliau sedang tidur manakala ibunya yang menggunakan kerusi roda menunggu di bawah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata selepas menghantar dan mengunci rumah, ayah mangsa turun semula ke bawah untuk mengambil ibunya yang lumpuh sebelum dimaklumkan jiran yang menemui mangsa di kawasan bawah perumahan terbabit.
Ayah mangsa terus membawa anaknya ke Hospital Putrajaya sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam kemudian, katanya.
Katanya hasil bedah siasat yang dilakukan hari ini mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman kerana terjatuh dari tempat tinggi.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment