Friday, 6 September 2013

Pejabat PM dinaik-taraf untuk mencapai indeks bangunan hijau (GBI)

Schneider, KFM naik taraf pejabat PM
Cave (kiri) bersama Nurolamin selepas taklimat kerjasama Schneider Electric dan KFM Holdings untuk menaiktaraf pejabat PM menjadi bangunan cekap tenaga.


PAKAR pengurusan tenaga global, Schneider Electric menjalin kerjasama dengan KFM Holdings Sdn Bhd untuk mengubah pejabat perdana menteri (PMO) menjadi bangunan cekap tenaga menjelang Mei 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif KFM Holdings Nurolamin Abas berkata, syarikatnya memulakan pengubahsuaian itu sejak Oktober 2011 dengan nilai pelaburan RM110 juta. “Pembinaan fizikal projek PMO itu dijangka siap menjelang akhir tahun ni.

“PMO akan menerima sijil indeks bangunan hijau (GBI) oleh Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia (MGBC) yang juga merupakan pensijilan tertinggi bagi standard bangunan hijau,” katanya selepas taklimat kerjasama di antara kedua-dua syarikat itu, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, menerusi projek itu, KFM berupaya mengintegrasi penghawa dingin, lampu, alat pengesan dan meter kuasa menggunakan sistem pengurusan bangunan Schneider dan menawarkan data pintar supaya keputusan bijak dapat dibuat bagi penggunaan tenaga.

Katanya, penjimatan tenaga dapat dikurangkan sehingga 40 peratus atau RM2 juta setahun apabila projek itu selesai dan digunakan nanti.

Katanya, projek PMO akan menjadi projek perintis bagi bangunan kerajaan di Asia.

Sementara itu, Presiden Schneider Electric Malaysia Peter Cave berkata, kerjasama itu menjadi platform membina kesedaran, pengetahuan dan kepakaran untuk mengubahsuai lebih banyak bangunan hijau dan cekap tenaga bagi membantu menjadikan negara hijau pada masa akan datang.


- Sinar Harian

MAS dan AirAsia didenda RM10 juta

Malaysia Airlines 9M-MRD aircraft at Kuala Lumpur - Int (Sepang)


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) mendapati perjanjian kerjasama di antara Malaysian Airline (MAS) dan AirAsia pada 2011 telah melanggar Akta Persaingan 2010.

Dengan itu, kedua-dua syarikat masing-masing dikenakan denda RM10 Juta.

Pengerusi MYCC, Tan Sri Siti Norma Yaakob (gambar) dalam satu kenyataan berkata MAS dan Airasia telah melanggar Seksyen 42 (2b), Akta Persaingan 2010.

Mengikut Akta tersebut syarikat penerbangan tidak dibenarkan terlibat di dalam kerjasama membabitkan perkongsian pasaran penerbangan di dalam Malaysia.

Menurut norma tindakan itu merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta itu kerana ia akan menghalang, mengehad dan mengubah persaingan di dalam pasaran barangan dan perkhidmatan.

Tambah norma lagi, denda RM10 juta yang dikenakan kepada MAS dan Airasia itu adalah kurang daripada 10 peratus perolehan syarikat masing-masing antara Januari dan April tahun lalu.

Kedua-dua syarikat diberikan masa 30 hari selepas tarikh denda dikeluarkan untuk menghantar surat perwakilan atau permohonan untuk melakukan perwakilan suara kepada MYCC.

- Astro Awani