Friday, 16 September 2016

Tayangan kisah Harimau Malaya 1980 - Sempena Hari Malaysia


Tayangan perdana Harimau Malaya 1980 disiarkan jam 9 malam ini, 16 September 2016, menerusi dua saluran serentak, Astro Arena dan Astro Supersport HD.


BERSEMPENA dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, Astro dengan berbesar hati telah melancarkan sebuah dokumentari khas bertajuk Harimau Malaya 1980 bagi meraikan detik-detik bersejarah pasukan bola sepak Malaysia.

Harimau Malaya 1980 bakal menyorot kembali ceritera pasukan bola sepak pada tahun 1980 yang begitu berinspirasi, serta semangat juang mereka untuk melayakkan diri menuju Sukan Olimpik Moscow 1980.

Dokumentari ini juga bakal mendekati kisah peribadi para pemain yang telah membentuk pasukan tersebut.

Buat pertama kali selepas 36 tahun, ahli pasukan tersebut telah berkumpul semula untuk menjayakan sebuah dokumentari.

Harimau Malaya 1980 turut menyaksikan sesi temubual eksklusif bersama barisan pemain legenda seperti Dato’ Soh Chin Aun, Hassan Sani, James Wong, Datuk Santokh Singh, jurulatih Karl-Heinz Weigang, pengulas sukan veteran Zulkarnain Hassan, ahli keluarga pemain dan bekas Menteri Luar Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail.

Dokumentari ini bakal menjejaki detik-detik suka-duka, semangat juang mereka bagi mencapat matlamat utama mereka untuk melayakkan diri berentap di Olimpik Moscow pada tahun 1980.

Berdurasi selama 90 minit, dokumentari ini telah diterbitkan olah Basir Siswo dengan kerjasama khas Chiu Keng Guan (Ola Bola).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Datuk Rohana Rozhan berkata, menerusi dokumentari berkenaan, pihak Astro ingin menceritakan kepada rakyat Malaysia mengenai kisah wira negara yang telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sehingga menjadikan mereka sebuah pasukan terunggul dan dihormati rakyat negara ini.

"Kami berharap agar kisah perjuangan mereka ini akan terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi di masa akan datang.

"Harimau Malaya 1980 merupakan lambang kebanggaan rakyat Malaysia dan kisah perjuangan mereka ini mengingatkan kita akan kepentingan semangat berpasukan, perpaduan dalam mengamalkan kepelbagaian bangsa selain memiliki kekuatan menerima perbezaan di antara satu sama lain," kata Rohana.

Tayangan perdana Harimau Malaya 1980 adalah pada malam ini, 16 September 2016, jam 9.00 malam menerusi dua saluran serentak, Astro Arena (Saluran 801 dan Saluran HD 802), Astro Supersport HD (Saluran 831).

Sumber: Astro Awani

Destinasi tumpuan cuti sekolah - Gua Tempurung


Gua Tempurung, dilengkapi di dalamnya jejantas dan tangga yang diterangi lampu, menjadi tarikan pengunjung terutama di musim cuti sekolah. - fotoBERNAMA

IPOH: Gua Tempurung yang terletak di Gopeng, kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Ipoh merupakan satu daripada destinasi pelancongan yang harus dikunjungi jika ke negeri Perak.

Lebih-lebih lagi, ketika musim cuti sekolah, ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk membawa anak-anak mereka menerokai keindahan Gua Tempurung yang mana di dalamnya telah tersedia jejantas dan tangga lengkap dengan lampu.

Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Pelancongan Gua Tempurung Datuk Abd Rahman Md Som, pelbagai acara disediakan sempena cuti sekolah termasuk pameran dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, persembahan buskers (muzik jalanan) dan karnival.

"Acara ini sebagai tarikan kepada pengunjung terutama golongan muda supaya mereka akan merasa seronok mendengar muzik sebelum menerokai gua," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abd Rahman berkata pihaknya menyediakan empat jenis ekspedisi yang membabitkan aktiviti perjalanan kering serta perjalanan kering yang diselangi dengan laluan menyusuri sungai.

"Terdapat empat jenis ekspedisi iaitu Golden Flowstone (tempat kering), Top Of The World (tempat kering), Top Of The World and Short River Adventure (kawasan basah) dan Grand Tour (kawasan basah).

"Masa lawatan adalah dari pukul 9 pagi hingga 4 petang bergantung pada jenis ekspedisi yang dipilih. Pengunjung yang mengikuti ekspedisi ini akan berpandukan renjer yang berpengalaman," katanya.

Katanya bayaran masuk bagi ekspedisi di Golden Flowstone adalah sebanyak RM8 bagi dewasa sementara kanak-kanak RM4; Top Of The World RM12 (dewasa), RM6 (kanak-kanak); Top Of The World and Short River Adventure RM15 (dewasa), RM7.50 (kanak-kanak) dan Grand Tour RM30 (dewasa), RM15 (kanak-kanak).

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata Gua Tempurung selamat dikunjungi berikutan kerja-kerja penyelenggaraan keselamatan telah siap termasuk menambah lampu dan menyediakan 32 buah tandas yang lebih besar dan selesa.

"Kami juga bercadang untuk menaik taraf kawasan perkelahan di sini, termasuk membina gerai makanan yang menyediakan makanan yang popular di Perak," katanya.

Mengenai statistik pengunjung ke Gua Tempurung, Abd Rahman berkata pihaknya menerima jumlah pengunjung yang amat memberangsangkan iaitu seramai 64,000 orang bagi tempoh lapan bulan ini.

"Dalam sebulan, pihak kami merekodkan seramai 7,000 pengunjung dari dalam negara dan selebihnya pelancong dari luar negara.
"Peningkatan itu adalah hasil usaha daripada kerja-kerja mempromosi Gua Tempurung selain menaik taraf kawasan gua itu," katanya.

Ketinggian Gua Tempurung ialah 120 meter, manakala panjangnya dianggarkan 1.9 kilometer (km) dan ada sungai mengalir sejauh 1.6km di dalamnya dikenali sebagai Sungai Gua Tempurung.

Ia mempunyai lima kubah besar yang dikenali sebagai Dewan Aliran Batu Emas (Golden Flowstone), Dewan Gergasi (Giant), Dewan Bijih Timah (Tin Mine), Dewan Alam (Universe) serta gabungan Dewan Pahlawan Tumpas (Fallen Warrior) dan Medan Perang (Battlefield). -- BERNAMA