Friday, 16 September 2016

Destinasi tumpuan cuti sekolah - Gua Tempurung


Gua Tempurung, dilengkapi di dalamnya jejantas dan tangga yang diterangi lampu, menjadi tarikan pengunjung terutama di musim cuti sekolah. - fotoBERNAMA

IPOH: Gua Tempurung yang terletak di Gopeng, kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Ipoh merupakan satu daripada destinasi pelancongan yang harus dikunjungi jika ke negeri Perak.

Lebih-lebih lagi, ketika musim cuti sekolah, ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk membawa anak-anak mereka menerokai keindahan Gua Tempurung yang mana di dalamnya telah tersedia jejantas dan tangga lengkap dengan lampu.

Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Pelancongan Gua Tempurung Datuk Abd Rahman Md Som, pelbagai acara disediakan sempena cuti sekolah termasuk pameran dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, persembahan buskers (muzik jalanan) dan karnival.

"Acara ini sebagai tarikan kepada pengunjung terutama golongan muda supaya mereka akan merasa seronok mendengar muzik sebelum menerokai gua," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abd Rahman berkata pihaknya menyediakan empat jenis ekspedisi yang membabitkan aktiviti perjalanan kering serta perjalanan kering yang diselangi dengan laluan menyusuri sungai.

"Terdapat empat jenis ekspedisi iaitu Golden Flowstone (tempat kering), Top Of The World (tempat kering), Top Of The World and Short River Adventure (kawasan basah) dan Grand Tour (kawasan basah).

"Masa lawatan adalah dari pukul 9 pagi hingga 4 petang bergantung pada jenis ekspedisi yang dipilih. Pengunjung yang mengikuti ekspedisi ini akan berpandukan renjer yang berpengalaman," katanya.

Katanya bayaran masuk bagi ekspedisi di Golden Flowstone adalah sebanyak RM8 bagi dewasa sementara kanak-kanak RM4; Top Of The World RM12 (dewasa), RM6 (kanak-kanak); Top Of The World and Short River Adventure RM15 (dewasa), RM7.50 (kanak-kanak) dan Grand Tour RM30 (dewasa), RM15 (kanak-kanak).

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata Gua Tempurung selamat dikunjungi berikutan kerja-kerja penyelenggaraan keselamatan telah siap termasuk menambah lampu dan menyediakan 32 buah tandas yang lebih besar dan selesa.

"Kami juga bercadang untuk menaik taraf kawasan perkelahan di sini, termasuk membina gerai makanan yang menyediakan makanan yang popular di Perak," katanya.

Mengenai statistik pengunjung ke Gua Tempurung, Abd Rahman berkata pihaknya menerima jumlah pengunjung yang amat memberangsangkan iaitu seramai 64,000 orang bagi tempoh lapan bulan ini.

"Dalam sebulan, pihak kami merekodkan seramai 7,000 pengunjung dari dalam negara dan selebihnya pelancong dari luar negara.
"Peningkatan itu adalah hasil usaha daripada kerja-kerja mempromosi Gua Tempurung selain menaik taraf kawasan gua itu," katanya.

Ketinggian Gua Tempurung ialah 120 meter, manakala panjangnya dianggarkan 1.9 kilometer (km) dan ada sungai mengalir sejauh 1.6km di dalamnya dikenali sebagai Sungai Gua Tempurung.

Ia mempunyai lima kubah besar yang dikenali sebagai Dewan Aliran Batu Emas (Golden Flowstone), Dewan Gergasi (Giant), Dewan Bijih Timah (Tin Mine), Dewan Alam (Universe) serta gabungan Dewan Pahlawan Tumpas (Fallen Warrior) dan Medan Perang (Battlefield). -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment