Saturday, 16 January 2016

Empat pelajar perempuan hilang di madrasah

Kedua-dua ibu bapa dan pihak sekolah telah membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau hari ini. 

MERLIMAU: Empat pelajar perempuan sebuah madrasah di Pulai, Melaka dilaporkan hilang selepas dipercayai melarikan diri dari asrama sekolah tengahari Khamis.

Ibu bapa pelajar terbabit turut melahirkan rasa terkejut apabila dimaklumkan pihak madrasah pada 6.30 petang Khamis.

Kempat-empat pelajar perempuan yang hilang berusia 13, 14, 15 dan 16 tahun.

Ibu kepada salah seorang pelajar yang hilang, Norhayati Taman, 51 tahun berkata, anak tunggalnya, Khadijah Mardhiyah Sainai, 14, dipercayai dipengaruhi oleh dua lagi rakannya untuk meninggalkan asrama tersebut.

Menurut beberapa rakannya yang lain, dua pelajar yang berusia 15 dan 16 tahun itu merupakan adik-beradik.

Mereka dikatakan turut meninggalkan sekeping kertas yang menceritakan masalah hidup keluarga mereka dan rancangan mereka untuk melarikan diri.

Bagi Zamrina Yahya, 38, dia risau memandangkan anak bongsunya Riena Irffah Najwa Karaudin baru berusia 13 tahun dan paling muda dalam kumpulan itu.

Katanya, anaknya yang bersekolah di madrasah tersebut bagi tahun ketiga tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik sebelum dilaporkan hilang pada Khamis.

Susulan itu, kedua-dua ibu bapa dan pihak sekolah telah membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau hari ini.

Keempat-empat pelajar ini dipercayai memakai  pakaian sekolah serba hitam ketika melarikan diri.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kempat-empat pelajar ini diminta membuat laporan di balai polis terdekat.

- Sumber: Astro Awani | Januari 15, 2016

Mengaku rancang serangan bunuh diri, empat individu ditahan polis

Dua daripada empat suspek yang ditahan polis, adalah sepasang suami isteri yang berasal dari Perak. - Foto PDRM

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri antara empat individu disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas militan Daish (IS), ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu operasi khas sekitar Selangor dan Kuala Lumpur antara 11 dan 15 Januari 2016.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tiga daripada suspek yang ditangkap telah ditahan pihak berkuasa Turki semasa dalam perjalanan menyusup masuk ke Syria.

Sementara seorang lagi suspek ditahan, dipercayai merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia.

Menurut Khalid, kesemua suspek adalah rakyat Malaysia berusia antara 23 hingga 28 tahun.

"Dua daripada mereka adalah sepasang suami isteri yang berasal dari Perak, manakala dua lagi suspek berasal dari Terengganu, yang masing-masing bekerja sebagai jurutera dan penjual insurans," jelas Khalid dalam satu kenyataan itu.

Tambahnya, tiga suspek berkenaan ditahan di Gaziantep, Turki pada 15 November 2015 oleh pihak berkuasa negara itu ketika menyelusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan Daish.

Kesemua mereka dihantar pulang ke Malaysia pada 11 Januari 2016 dan ditangkap sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

"Kesemua mereka direkrut oleh Muhammad Wanndy bin Mohamed Jedi @ Abu Hamzah, menyertai Daish di Syria melalui Facebook dan aplikasi Telegram.

Muhammad Wanndy juga bertanggungjawab dalam merancang penyusupan masuk ketiga-tiga suspek ke Syria," kata Khalid lagi.


Suspek mengaku telah merancang untuk melancarkan serangan bunuh diri di Malaysia selepas menerima arahan dari anggota Daish warga asing di Syria.

"Suspek merupakan individu yang bertanggungjawab menggantung bendera IS di beberapa lokasi di sekitar Terengganu, Perak, Selangor dan Johor, bagi memberi peringatan kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan operasi penangkapan ke atas anasir-anasir IS di Malaysia," jelas Khalid.

Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan keganasan, Akta 574 Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

- Sumber: Astro Awani | Januari 16, 2016