Wednesday, 25 February 2015

Pos Malaysia keluarkan setem panda hari ini



Pos Malaysia mengeluarkan koleksi setem dan produk filateli terbaharu bertemakan panda sebagai meraikan kehadiran panda Xing Xing dan Liang Liang di negara ini hari ini.

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia mengeluarkan koleksi setem dan produk filateli terbaharu bertemakan panda sebagai meraikan kehadiran panda Xing Xing dan Liang Liang di negara ini hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Azlan Shahrim berkata koleksi itu sebagai simbol hubungan kukuh antara Malaysia dan China.

Setem itu boleh diperoleh di semua pejabat pos di seluruh negara.

"Koleksi ini dikenali sebagai Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi.

"Ia bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan usaha-usaha pemuliharaan dan kepentingan hidupan liar serta kelestarian biodiversiti," katanya dalam kenyataan semalam.

Azlan berkata istimewanya keluaran pada kali ini ialah lembaran mini yang dicetak khas menggunakan kertas flok iaitu sejenis gentian berbulu halus dengan ciri keselamatan.

Setem berupa lembaran mini yang berukuran 80mm x 90mm itu memaparkan panda jantan (Xing Xing) bermaksud kemakmuran dan panda betina (Liang Liang) yang bermaksud cantik itu dijual pada harga RM8 setiap satu.

Selain itu dua setem biasa berukuran 28mm x 45mm yang dicetak pada kertas setem fosfor hijau kuning, memaparkan kedua-dua panda boleh didapati pada harga 70 sen setiap satu.

Sampul surat Hari Pertama turut dijual pada harga 50 sen sekeping dan RM1.90 dengan satu setem, sampul dan lembaran mini pada harga RM8.50, folder, RM6 setiap satu atau RM52.40 untuk satu set lengkap.

- Sumber: Bernama 

Sanggup melacur dalam semak

Kawasan semak yang dipercayai sering dijadikan port pelacuran dimusnahkan penguatkuasa dalam operasi semalam.


SUNGAI PETANI – Seorang ibu muda yang mengaku janda antara yang ditahan di lokasi pelacuran dekat kawasan semak di Taman Kampian, Jalan Sekerat, jam 11 pagi semalam.

Turut ditahan dua wanita dan seorang lelaki yang berperwatakan seperti perempuan di port pelacuran yang hanya dilengkapi dengan khemah serta alatan lain dipercayai untuk aktiviti pelacuran.

Bagaimanapun, hasil soal selidik mendapati wanita berusia 22 tahun itu masih berstatus isteri orang dan mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun.

Pemeriksaan ke sekitar lokasi pula mendapati ia seakan-akan lokasi perkhemahan dalam semak namun dipenuhi alatan kondom digunakan untuk pelacuran.

Kesemua mereka yang ditahan anggota Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Muda itu dibawa ke pejabat untuk soal siasat selain memanggil waris untuk tindakan selanjutnya.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Alwi Osman berkata, dua perempuan ditahan mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 iaitu melacur manakala seorang lagi wanita bukan Islam dilepaskan selepas diberi khidmat moral.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Manakala seorang lelaki berperwatakan perempuan ditahan mengikut Seksyen 26 iaitu mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan.

“Jika bersalah, boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM1,000 denda atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Penguatkuasa MPSPK, Anil Aris manakala PAD diketuai Zaiferi Zainul Abidin.

- Sumber: Sinar Harian