Friday, 20 February 2015

Jam tangan RM16 dijual RM94,000


ARIZONA - AMERIKA SYARIKAT. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah yang dapat digambarkan apabila seorang lelaki yang membeli jam tangan berharga cuma RM16 dan kemudian menjualnya semula dengan harga RM94,000.

Zach Norris pada mulanya ingin membeli beg golf di sebuah kedai barangan terpakai, tetapi kemudian mendapati seutas jam tangan vintaj Jaeger-LeCoultre 1959 dijual pada harga RM16.

Zach berkata, dia kemudiannya menjual jam tersebut dengan harga RM94,000 di sebuah laman web pengumpul jam tangan Hodinkee.com.

"Hanya 900 utas jam tangan ini di buat," katanya dipetik Metro.co.uk.

Tambah Zach, duit hasil jualan tersebut akan digunakan untuk menampung perbelanjaan perkahwinannya.

- Sumber: Metro.co.uk 

Rayuan tomboi mangsa rogol


JOHOR BAHRU - Meskipun berperwatakan tomboi, ia tidak mampu mengatasi naluri keibuan yang menebal seorang wanita sebaik dia melahirkan bayi lelaki lebih 10 hari lalu, meskipun menyedari ia bukan daripada ikatan yang sah.

Kisah malang Ain (bukan nama sebenar), 33, bermula selepas dia dipaksa mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki berstatus suami orang dalam kejadian di sebuah rumah yang tidak diketahuinya, awal tahun lalu.

“Saya kenal dia, malah kami menetap di kampung sama. Saya dipaksa melakukan perbuatan terkutuk itu disaksikan dua rakan lelaki tersebut.

“Pada saat kejadian hitam itu, saya hanya fikir untuk tidak diapa-apakan dan dapat pulang ke rumah.

“Selepas insiden itu, saya tidak pernah bersua dengannya meskipun mengetahui saya hamil anaknya kerana saya tidak mahu ada sebarang ikatan dengannya,” katanya yang ditemui penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam Operasi Mawar Merah, di sebuah hotel murah, di sini.

Ain turut merayu supaya tidak dikenakan tindakan kerana cuba menyembunyikan kelahiran bayi lelaki itu selepas didakwa menjadi mangsa rogol tahun lalu.

Katanya, meskipun mengetahui risiko yang bakal ditanggungnya, dia tekad mahu memelihara anak yang dilahirkan secara normal itu malah ibu bapanya mengetahui kelahiran bayi tersebut.

Tegasnya, dia sayangkan bayinya dan mahu menjaganya sendiri meskipun ada beberapa kenalan yang mahu mengambil anak itu sebagai anak angkat.

“Biarlah saya yang jaga sendiri tanpa susahkan orang lain apatah lagi kedua ibu bapa saya kerana saya ingin berubah demi bayi ini,” katanya.

Ain tidak berhasrat pulang ke rumah orang tuanya, kerana tidak mahu mengaibkan mereka.

- Sumber: Sinar Harian