Friday, 20 February 2015

Rayuan tomboi mangsa rogol


JOHOR BAHRU - Meskipun berperwatakan tomboi, ia tidak mampu mengatasi naluri keibuan yang menebal seorang wanita sebaik dia melahirkan bayi lelaki lebih 10 hari lalu, meskipun menyedari ia bukan daripada ikatan yang sah.

Kisah malang Ain (bukan nama sebenar), 33, bermula selepas dia dipaksa mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki berstatus suami orang dalam kejadian di sebuah rumah yang tidak diketahuinya, awal tahun lalu.

“Saya kenal dia, malah kami menetap di kampung sama. Saya dipaksa melakukan perbuatan terkutuk itu disaksikan dua rakan lelaki tersebut.

“Pada saat kejadian hitam itu, saya hanya fikir untuk tidak diapa-apakan dan dapat pulang ke rumah.

“Selepas insiden itu, saya tidak pernah bersua dengannya meskipun mengetahui saya hamil anaknya kerana saya tidak mahu ada sebarang ikatan dengannya,” katanya yang ditemui penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam Operasi Mawar Merah, di sebuah hotel murah, di sini.

Ain turut merayu supaya tidak dikenakan tindakan kerana cuba menyembunyikan kelahiran bayi lelaki itu selepas didakwa menjadi mangsa rogol tahun lalu.

Katanya, meskipun mengetahui risiko yang bakal ditanggungnya, dia tekad mahu memelihara anak yang dilahirkan secara normal itu malah ibu bapanya mengetahui kelahiran bayi tersebut.

Tegasnya, dia sayangkan bayinya dan mahu menjaganya sendiri meskipun ada beberapa kenalan yang mahu mengambil anak itu sebagai anak angkat.

“Biarlah saya yang jaga sendiri tanpa susahkan orang lain apatah lagi kedua ibu bapa saya kerana saya ingin berubah demi bayi ini,” katanya.

Ain tidak berhasrat pulang ke rumah orang tuanya, kerana tidak mahu mengaibkan mereka.

- Sumber: Sinar Harian 

    Thursday, 19 February 2015

    Jackie Chan tak sambut Tahun Baharu Cina


    HAMPIR enam dekad beraksi di pentas lakonan sekali gus membawa namanya ke tahap yang tersendiri, bakat selebriti antarabangsa ini turut mendapat pengiktirafan di negara kita.

    Baharu sahaja menerima anugerah darjah kebesaran Panglima Mahkota (PMW) oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Istana Negara, Datuk Jackie Chan adalah selebriti antarabangsa ketiga yang menerima gelaran ini.

    Membawa gelaran Datuk sejak 1 Februari lalu, ia semestinya memberi semangat baharu buat aktor hebat ini dalam terus beraksi di layar perak.

    Pun begitu, gelaran yang diterima tidak memberi apa-apa perubahan dari segi kehidupan peribadi pelakon ini malah sambutan untuk Tahun Baru Cina juga tidak menjadi prioriti dalam hidupnya.

    Akui pemilik nama sebenar, Chan Song Kang, 60, ini kerjaya adalah perkara yang paling penting dalam hidupnya berbanding merayakan sambutan Tahun Baru Cina.

    Menerusi portal Yahoo! Singapura, dia bukanlah seorang yang sangat mementingkan keluarga di musim perayaan kerana baginya, masa untuk keluarga sentiasa ada.

    "Kerjaya saya sebagai pembikin filem adalah lebih penting daripada sambutan perayaan. Untuk perayaan, perkara yang diutamakan adalah bertemu dengan keluarga dan pada saya, untuk bertemu ianya bukan hanya tertakluk pada waktu perayaan sahaja.

    Hari ini, esok atau lusa sama sahaja.

    "Berbeza pula dengan kerja-kerja di lokasi di mana kita akan berjumpa dengan orang yang berbeza. Malah, dalam filem, apabila penggambaran itu tamat, kita sudah tidak berjumpa dengan mereka lagi.

    "Untuk keluarga, bila-bila masa sahaja ada waktu untuk berjumpa. Sebab itu saya rasakan, kerja lebih penting," katanya lagi.

    Melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan, ramai yang menganggap aktor ini seakan meluahkan rasa yang terbuku di hati ekoran penahanan anaknya, Jaycee Chan selepas didapati bersalah dan di hukum penjara enam bulan atas kesalahan menyimpan
    dadah jenis marijuana di apartmennya.

    Walaupun kini anaknya telah dibebaskan, namun ia tetap meninggalkan kesan yang mendalam buat pelakon filem, Twin Dragons ini.

    "Saya rasa, tempoh dalam penjara yang dikenakan ke atasnya sudah cukup untuk memberi kesedaran betapa pentingnya masa depan kita.

    "Bagi saya, hukuman itu cukup setimpal dengan apa yang telah dia lakukan dan apa yang pasti, dia bukan kanak-kanak lagi yang tidak tahu apa-apa," katanya lagi.


    Kerja keras demi Dragon Blade

    Dalam perkembangan seni pula, peminat selebriti ini boleh menyaksikan aksi lakonannya menerusi filem, Dragon Blade, mulai hari ini di seluruh pawagam.

    Turut menjelajah ke Kuala Lumpur dan Singapura untuk mempromosikan filem terbaharu terbitannya itu, Jackie memberitahu filem epik yang diangkat dari kisah benar itu adalah karya yang sukar untuk diterjemahkan di layar.

    Turut membintangi karya tersebut, Jackie yang memegang watak sebagai Huo An memberitahu, seramai 700 kru ditugaskan untuk menghidupkan latar pemerintahan Dinasti Han di China sekitar tahun 206 hingga 220 sebelum Masihi.

    "Kami bekerja keras untuk menghasilkan filem ini walaupun terpaksa berurusan dengan kru yang datang dari pelbagai bangsa. Selain berdepan dengan kekangan masa, kami juga berdepan dengan cuaca yang tidak menentu di lokasi penggambaran, Gurun Gobi dan Mongolia.

    "Pembikinan filem ini bukanlah sesuatu yang mudah malah, saya menghabiskan masa selama tujuh tahun untuk menyiapkannya dan diserahkan kepada pengarah, Daniel Lee, untuk divisualkan.

    "Namun, saya beruntung kerana mempunyai tenaga kerja yang komited dan aksi-aksi yang dirakam amat memuaskan hati saya. Penonton boleh menilai sendiri hasil kerja keras kami di pawagam," katanya lagi.

    Filem epik ini mengisahkan mengenai Huo An, seorang komander Skuad Penyelamat yang ditugaskan memelihara Laluan Sutera pada era Dinasti Han.

    Konflik bermula apabila Huo An memberi tempat perlindungan kepada seorang jeneral berbangsa Rom bernama Lucius (John Cusack) yang melarikan diri daripada Tiberius (Adrien Brody) kerana berebut takhta daripada adik bongsunya, Publius.

    Ekoran daripada amarah, dendam dan pembelotan, 36 buah negara di Laluan Sutera bergabung, menentang Tiberius dan angkatan tenteranya.


    Profil

    Nama Penuh : Chan Song Kang
    Tarikh Lahir : 7 April 1954
    Tempat Lahir : Victoria Peak, British Hong Kong
    Kerjaya : Pelakon, Pengarah, Penerbit, Penyanyi, Penulis Skrip
    Anak : Jaycee Chan, Etta Ng

    - Sumber: Sinar Harian