Friday, 3 October 2014

Cemburu dipercayai punca lelaki bunuh dan bakar teman wanita

Suspek berusia 43 tahun itu bertindak demikian selepas wanita berkenaan memberitahunya bahawa dia telah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

BUKIT MERTAJAM: Polis percaya kes bunuh dan bakar seorang wanita di Kampung Datuk Keramat di sini berpunca daripada cemburu.

Sumber berkata hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 43 tahun itu bertindak demikian selepas wanita berkenaan memberitahunya bahawa dia telah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

"Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu mendakwa bercinta dengan wanita berusia 30 tahun itu sejak beberapa tahun lepas dan tidak pernah mengetahui wanita itu telah berkahwin.

"Wanita itu datang ke rumah lelaki terbabit pada Isnin dan berterus terang yang dia telah berkahwin serta enggan meneruskan hubungan dengan penganggur berkenaan kerana bimbang diketahui suami dan keluarganya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, polis menemui ketulan tulang wanita yang dipercayai dibunuh dan dibakar di kawasan hutan di Kampung Datuk Keramat di sini.

Tulang-tulang dengan kesan terbakar dipercayai seorang wanita ditemui dalam kawasan hutan berhampiran sebuah rumah yang didiami seorang lelaki dan dikatakan sering dikunjungi wanita berkenaan.

Sumber itu berkata wanita yang telah dikenal pasti identitinya itu dikurung di rumah lelaki berkenaan sebelum mangsa dipukul, dibunuh dan kaki serta tangannya ditetak manakala sebahagian badannya dibakar sebelum ditanam di kawasan hutan belakang rumah itu.

"Selepas menahan lelaki berkenaan, polis membawa dia ke lokasi kejadian dan berjaya menemui badan mangsa yang ditanam di kawasan hutan itu. Beberapa bahagian tangan dan kaki ditetak manakala perut serta kaki mangsa terdapat kesan terbakar," katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata lelaki yang ditahan petang semalam, kini direman tujuh hari bermula hari ini.

- Sumber: Bernama

MH17: Lima lagi jenazah tiba dan diberi penghormatan ketenteraan Jumaat

Lima lagi jenazah warga Malaysia yang terkorban dalam nahas MH17 akan tiba di tanah air esok. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Lima lagi jenazah warga Malaysia yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 akan tiba di tanah air hari ini dari Amsterdam dan diberikan penghormatan ketenteraan seperti sebelum ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Khamis berkata ia melibatkan seorang beragama Islam dan empat bukan beragama Islam.

Jenazah itu ialah Matthew Ezekial Sivagnanam, pasangan suami isteri Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen, Meling Anak Mula dan Muhammad Afruz Tambi dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) jam 8.30 pagi.

"Daripada lima jenazah ini, tiga jenazah akan diterima dalam keranda, manakala dua jenazah (pasangan suami isteri (Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen) akan dibawa dalam bekas abu.

"Bagaimanapun, dua bekas abu tersebut akan dibawa dalam satu kenderaan jenazah sahaja atas permintaan keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan.

Hishammuddin berkata bekas abu Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen akan dibawa ke Nirvana Sungai Besi manakala jenazah Matthew Ezekial Sivagnanam pula akan dibawa ke St. Fatima Church di Brickfields.

Jenazah Muhammad Afruz dan Meling Anak Mula pula akan diterbangkan menggunakan pesawat C130, masing-masing ke Kuching dan Bintulu.

Hishammuddin berkata sehubungan itu pihak kerajaan amat mengharapkan semua pihak termasuk media supaya menghormati kesedihan yang dirasai keluarga mangsa tragedi MH17 sekali gus bersama-sama menjaga privasi dan sensitiviti mereka.

Katanya, setakat ini kerajaan berjaya membawa pulang 37 jenazah rakyat Malaysia dari Belanda termasuk seorang yang memiliki dua kewarganegaraan Malaysia dan Belanda iaitu Loh Yan Hwa.

"Jumlah 37 jenazah ini melibatkan 24 orang beragama Islam dan 13 bukan Islam. Jumlah ini juga melibatkan 22 penumpang serta 15 anak kapal.

"Dengan lima lagi jenazah dijangka dibawa pulang esok, maka kita telah membawa pulang 42 jenazah rakyat Malaysia dari Belanda. Ini bermakna hanya dua lagi jenazah warganegara Malaysia belum dapat dikesan atau dikenal pasti," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata kerajaan konsisten bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak pesawat MH17 harus dibawa ke muka pengadilan dan seterusnya menerima hukuman yang setimpal atas jenayah atau pembunuhan yang mereka lakukan.

Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

- - Sumber: Bernama