Friday, 3 October 2014

MH17: Lima lagi jenazah tiba dan diberi penghormatan ketenteraan Jumaat

Lima lagi jenazah warga Malaysia yang terkorban dalam nahas MH17 akan tiba di tanah air esok. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Lima lagi jenazah warga Malaysia yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 akan tiba di tanah air hari ini dari Amsterdam dan diberikan penghormatan ketenteraan seperti sebelum ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Khamis berkata ia melibatkan seorang beragama Islam dan empat bukan beragama Islam.

Jenazah itu ialah Matthew Ezekial Sivagnanam, pasangan suami isteri Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen, Meling Anak Mula dan Muhammad Afruz Tambi dijadual tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) jam 8.30 pagi.

"Daripada lima jenazah ini, tiga jenazah akan diterima dalam keranda, manakala dua jenazah (pasangan suami isteri (Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen) akan dibawa dalam bekas abu.

"Bagaimanapun, dua bekas abu tersebut akan dibawa dalam satu kenderaan jenazah sahaja atas permintaan keluarga mangsa," katanya dalam kenyataan.

Hishammuddin berkata bekas abu Liew Yau Chee dan Lee Kiah Yeen akan dibawa ke Nirvana Sungai Besi manakala jenazah Matthew Ezekial Sivagnanam pula akan dibawa ke St. Fatima Church di Brickfields.

Jenazah Muhammad Afruz dan Meling Anak Mula pula akan diterbangkan menggunakan pesawat C130, masing-masing ke Kuching dan Bintulu.

Hishammuddin berkata sehubungan itu pihak kerajaan amat mengharapkan semua pihak termasuk media supaya menghormati kesedihan yang dirasai keluarga mangsa tragedi MH17 sekali gus bersama-sama menjaga privasi dan sensitiviti mereka.

Katanya, setakat ini kerajaan berjaya membawa pulang 37 jenazah rakyat Malaysia dari Belanda termasuk seorang yang memiliki dua kewarganegaraan Malaysia dan Belanda iaitu Loh Yan Hwa.

"Jumlah 37 jenazah ini melibatkan 24 orang beragama Islam dan 13 bukan Islam. Jumlah ini juga melibatkan 22 penumpang serta 15 anak kapal.

"Dengan lima lagi jenazah dijangka dibawa pulang esok, maka kita telah membawa pulang 42 jenazah rakyat Malaysia dari Belanda. Ini bermakna hanya dua lagi jenazah warganegara Malaysia belum dapat dikesan atau dikenal pasti," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata kerajaan konsisten bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak pesawat MH17 harus dibawa ke muka pengadilan dan seterusnya menerima hukuman yang setimpal atas jenayah atau pembunuhan yang mereka lakukan.

Penerbangan MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

- - Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment