Monday, 16 June 2014

Dua jaguh negara menang di kejohanan ONE FC Jakarta

Dua jaguh seni mempertahankan diri negara, Ev Ting dan Gianni Subba telah mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi kejohanan ONE Fighting Championship (ONE FC) di Jakarta malam tadi.

Subba yang merupakan harapan muda tertinggi negara dalam sukan itu telah menewaskan jaguh wushu dari Filipina, Ruel Catalan dalam kategori flyweight.

Ia sekaligus membuktikan semula kehebatannya setelah tewas kepada Eugene Toquero pada pertarungan yang lepas di Manila.

Subba mempamerkan kecekapannya bergusti pada pusingan pertama dengan menjatuhkan Catalan dan seterusnya meletakkan dirinya pada posisi atas, namun telah berjaya diterbalikkan oleh Catalan.

Subba kemudiannya cuba untuk melakukan ‘triangle choke’ pada Catalan, tetapi tidak sempat menghabiskannya gara-gara wisel penamat pusingan pertama telah berbunyi.

Gianni (kanan) melepaskan penumbuk ke arah lawannya. Foto ONE FC
Pada pusingan kedua pula, Subba sekali lagi cuba melakukan ‘triangle choke’ diikuti beberapa hentakan siku ke muka Catalan yang membuatkan Catalan menyerah kalah.

Dalam kategori featherweight pula, Ev Ting menewaskan lawannya dari Indonesia, iaitu Yohan Mulia Legowo dalam pusingan pertama.

Kedua-dua mereka mempamerkan aksi mendebarkan apabila mereka saling bertukar tumbukan serta tendangan yang agresif terhadap diri masing-masing.

Tidak kurang dari satu minit dalam pusingan pertama, Ting telah melontarkan beberapa pukulan yang kuat sehingga melemahkan Yohan dan menjatuhkan petarung veteran Indonesia itu.

Sementara itu, petarung wanita negara, Ella Tang tewas kepada petarung wanita professional pertama Indonesia, Desi Rahayu dalam kategori bantamweight.

Desi telah memperlihatkan kehebatannya dalam seni judo apabila dia menjatuhkan Tang pada pusingan pertama sambil cuba melakukan kuncian ‘armbar’ pada Tang.

Ella Tang (kanan) memberikan tendangan padu kepada lawannya. Foto ONE FC
Bagaimanapun Tang berjaya melepaskan diri dari kuncian yang telah dilakukan oleh Desi itu. Dia juga berjaya melepaskan diri pada cubaan kedua oleh Desi.

Namun, keseluruhan perlawanan telah dikawal baik oleh Desi yang banyak membuat cubaan menjatuhkan Tang sambil melepaskan tumbukan dari posisi atas badan.

Pertarungan dibawa hingga ke pusingan ketiga di mana para hakim telah memberikan kemenangan kepada Desi.

Tang ketika ditemui selepas itu, menyatakan rasa sedih kerana tidak berjaya memenangi pertarungan tersebut.

“Saya sedih kerana tidak menang untuk Malaysia tetapi saya lega kerana menghabiskan ketiga-tiga pusingan. Desi memang kuat di lantai dan dia juga telah cuba membuat knockout pada saya, tetapi tidak berjaya,” kata atlet wushu negara yang juga jaguh muay thai itu.

Kejohanan seni mempertahankan diri campuran (MMA) ONE FC ‘Era Of Champions’ telah diadakan di Stadium Antarabangsa Mata Elang, Jakarta di hadapan 13,000 peminat MMA.

Ini merupakan kali keempat acara ONE FC untuk tahun 2014 di mana acara sebelumnya telah diadakan di Singapura.


Berikut pula adalah keputusan rasmi bagi ONE FC ‘Era Of Champions’:

Acara utama - Flyweight: Adriano Moraes (Brazil) menewaskan Kosuke Suzuki (Japan) melalui Submission (Arm Triangle Choke) pada minit 1:25 pusingan ke-3

Bantamweight: Fransino Tirta (Indonesia) menewaskan Sami Amin (Egypt) melalui Submission (Rear Naked Choke) pada minit 1:08 pusingan pertama


Flyweight: Geje Eustaquio (Philippines) menewaskan Kentaro Watanabe (Japan) melalui keputusan hakim pada minit 5:00 pusingan ke-3


Middleweight: Aung La N Sang (Myanmar) menewaskan Mahmoud Salama (Egypt) melalui TKO (Pukulan) pads minit 1:06 pusingan pertama


Featherweight: Ev Ting (Malaysia) menewaskan Yohan Mulia Legowo (Indonesia) melalui TKO (Pukulan) pada minit 4:35 pusingan pertama


Flyweight: Dejdamrong sor Amnuaysirichoke (Thailand) menewaskan Jomanz Omanz (Philippines) melalui TKO (Pukulan) pada minit 4:33 pusingan pertama


Flyweight: Gianni Subba (Malaysia) menewaskan Ruel Catalan (Filipina) melalui Submission (Pukulan) pada minit 2:43 pusingan ke-2


Welterweight: Mohammad Sotounzadeh (Iran) menewaskan Zuli Silawanto (Indonesia) melalui Knockout pada minit 2:34 pusingan pertama


Bantamweight: Desi Rahayu (Indonesia) menewaskan Ella Tang (Malaysia) melalui keputusan hakim pada minit 5:00 pusingan ke-3

- ASTRO Awani 

Remaja bawah umur kena cekup



Dua remaja yang dicekup.
Dua remaja yang dicekup.


BANDAR SRI SENDAYAN - Dua remaja berusia 15 dan 13 tahun ditangkap ketika sedang asyik berdua-duaan dalam sebuah tandas di kawasan kedai makan Medan Nusari, dekat sini, semalam.

Difahamkan, perlakuan sumbang kedua-dua remaja terbabit disedari beberapa pelanggan kedai makan berkenaan kira-kira jam 10 pagi, semasa mahu menggunakan tandas tersebut yang terletak beberapa meter dari kedai dan berkeadaan sunyi.

Salah seorang pelanggan hanya mahu dikenali sebagai Rusydi, 35, berkata, pada mulanya, dia tidak mengesyaki apa-apa ketika melihat remaja lelaki dan perempuan menaiki motosikal bersama menuju ke kawasan tandas itu.

“Bagaimanapun, saya mula tidak sedap hati apabila mendapati motosikal dinaiki kedua-duanya masih berada di situ, sedangkan kelibat mereka langsung tidak kelihatan sejak 20 minit lalu.

“Pemeriksaan saya bersama rakan-rakan dalam tandas lelaki tidak menemui apa-apa. Namun, alangkah terkejutnya saya kerana ternampak dua pasang kaki dalam keadaan cukup rapat ketika menjengah dari bahagian bawah salah satu tandas wanita,” katanya.

Menurutnya, selepas dipaksa membuka pintu, mereka mendapati kedua-dua remaja terbabit sedang berada dalam tandas berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Melalui penjelasan diberikan kedua-duanya, difahamkan remaja perempuan yang sedang menuntut dalam tingkatan satu itu berasal dari taman sekitar kawasan ini, manakala si lelaki pula datang dari Seremban Dua yang terletak lebih kurang 6.3 kilometer dari tempat kejadian.

“Mereka juga merayu agar tidak diserahkan kepada pihak berkuasa dan mengaku tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya yang menjelaskan, ibu remaja perempuan itu sampai di lokasi lebih kurang 45 minit kemudian selepas dihubungi anaknya.

Katanya lagi, si ibu langsung tidak menyangka akan berlaku demikian, memandangkan anaknya ada meminta izin untuk keluar dengan alasan mahu pergi bersiar-siar.

Kekecohan juga hampir berlaku apabila bapa kepada remaja lelaki terlibat yang tiba beberapa minit kemudian, naik angin dan mengugut mahu memukul Sinar Harian yang cuba mendapatkan maklumat.

“Kau siapa? Jangan kurang ajar! Aku belasah kau nanti,” demikian herdik lelaki dalam lingkungan 40-an itu kepada Sinar Harian, semalam yang kemudiannya meminta maaf dan mengaku tertekan dengan perbuatan anaknya.

Tinjauan Sinar Harian, semalam mendapati, kedua-dua remaja itu diserahkan kepada ibu bapa masing-masing dan tidak membabitkan pihak berkuasa. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nusari Aman 2 (Natra), Terence Santhanam Beh, 41, berkata, beliau hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh beberapa penduduk.

“Kita kesal dengan kejadian sebegini, lebih-lebih lagi berlaku pada hari Jumaat yang mulia. Kita harap, ibu bapa akan dapat mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya.

Sinar Harian