Dua remaja yang dicekup.
BANDAR SRI SENDAYAN - Dua remaja berusia 15 dan 13 tahun ditangkap ketika sedang asyik berdua-duaan dalam sebuah tandas di kawasan kedai makan Medan Nusari, dekat sini, semalam.
Difahamkan, perlakuan sumbang kedua-dua remaja terbabit disedari beberapa pelanggan kedai makan berkenaan kira-kira jam 10 pagi, semasa mahu menggunakan tandas tersebut yang terletak beberapa meter dari kedai dan berkeadaan sunyi.
Salah seorang pelanggan hanya mahu dikenali sebagai Rusydi, 35, berkata, pada mulanya, dia tidak mengesyaki apa-apa ketika melihat remaja lelaki dan perempuan menaiki motosikal bersama menuju ke kawasan tandas itu.
“Bagaimanapun, saya mula tidak sedap hati apabila mendapati motosikal dinaiki kedua-duanya masih berada di situ, sedangkan kelibat mereka langsung tidak kelihatan sejak 20 minit lalu.
“Pemeriksaan saya bersama rakan-rakan dalam tandas lelaki tidak menemui apa-apa. Namun, alangkah terkejutnya saya kerana ternampak dua pasang kaki dalam keadaan cukup rapat ketika menjengah dari bahagian bawah salah satu tandas wanita,” katanya.
Menurutnya, selepas dipaksa membuka pintu, mereka mendapati kedua-dua remaja terbabit sedang berada dalam tandas berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Melalui penjelasan diberikan kedua-duanya, difahamkan remaja perempuan yang sedang menuntut dalam tingkatan satu itu berasal dari taman sekitar kawasan ini, manakala si lelaki pula datang dari Seremban Dua yang terletak lebih kurang 6.3 kilometer dari tempat kejadian.
“Mereka juga merayu agar tidak diserahkan kepada pihak berkuasa dan mengaku tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya yang menjelaskan, ibu remaja perempuan itu sampai di lokasi lebih kurang 45 minit kemudian selepas dihubungi anaknya.
Katanya lagi, si ibu langsung tidak menyangka akan berlaku demikian, memandangkan anaknya ada meminta izin untuk keluar dengan alasan mahu pergi bersiar-siar.
Kekecohan juga hampir berlaku apabila bapa kepada remaja lelaki terlibat yang tiba beberapa minit kemudian, naik angin dan mengugut mahu memukul Sinar Harian yang cuba mendapatkan maklumat.
“Kau siapa? Jangan kurang ajar! Aku belasah kau nanti,” demikian herdik lelaki dalam lingkungan 40-an itu kepada Sinar Harian, semalam yang kemudiannya meminta maaf dan mengaku tertekan dengan perbuatan anaknya.
Tinjauan Sinar Harian, semalam mendapati, kedua-dua remaja itu diserahkan kepada ibu bapa masing-masing dan tidak membabitkan pihak berkuasa.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nusari Aman 2 (Natra), Terence Santhanam Beh, 41, berkata, beliau hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh beberapa penduduk.
“Kita kesal dengan kejadian sebegini, lebih-lebih lagi berlaku pada hari Jumaat yang mulia. Kita harap, ibu bapa akan dapat mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment