Friday, 21 February 2014

Kes pukul anak di Sweden: Ammar mula rindu ibu bapanya


STOCKHOLM: Hari ketiga perbicaraan kes pasangan Malaysia, Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya Shalwati Nurshal yang didakwa memukul anak-anak mereka menyaksikan anak mereka Ammar menunjukkan kegelisahannya.

Ammar yang berusia 12 tahun kerap bertanyakan kepada pegawai penyiasat sebelum ditemubual oleh mereka akan bilakah ibu bapanya akan dibebaskan.

“Sudah terlalu lama. Empat minggu sudah berlalu dan agak janggal untuk tidak melihat mereka untuk suatu jangka waktu yang panjang. Saya sangat berharap agar ibu bapa saya berada di rumah bersama-sama saya dan segalanya akan bahagia apabila kita bersama,” katanya melalui video yang dipaparkan oleh pendakwaraya, Anna Arnell.

Pada waktu itu, ibu Ammar, Shalwati yang duduk bersebelahan peguam mereka, Kristofer Stahre menitiskan air matanya dan mengesatnya dengan tisu.

Azizul yang duduk bersebelahan dengan seorang lagi peguam bela mereka, Jonas Tamm pula hanya tunduk memandang ke bawah sambil tangannya mencatatkan sesuatu pada buku nota kecilnya.

Keseluruhan kandungan video tersebut adalah penerangan semula oleh Ammar terhadap sola-jawab yang dikemukakan oleh pendakwaraya yang telah dipaparkan pada perbicaraan semalam.

Malah, Ammar mengesahkan semula bahawa kesemua insiden yang dipercayai pemukulan oleh ibu dan bapanya itu yang berlaku itu kepada pegawai penyiasat.

Menurutnya, ibunya dipercayai telah memukulnya sebanyak 1,000 kalipada 2013 manakala bapanya pula telah memukulnya sebanyak 100 kali.

“Perkara yang terjadi itu sudah terlalu kerap malah saya sudah tidak hiraukan lagi untuk melihat sama ada badan saya ini mempunyai kesan pukulan dari mereka atau tidak,” katanya.

Dia menceritakan kepada mahkamah dimana terdapat satu insiden dimana ketika itu mereka sedang menuju ke Jerman untuk cuti musim panas.

Ketika itu, mereka masih lagi berada di Sweden dimana mereka terpaksa untuk berhenti sebentar untuk menjamu selera.

Dia sedang bermain-main dengan rakannya ketika ibunya memanggilnya untuk masuk ke dalam rumah.

Ibunya kemudian telah memukulnya kerana didakwa ‘berlagak’ kepada kawan-kawannya.

Ammar menjelaskan tiada seorang pun rakannya yang menyaksikan apa yang telah berlaku.

Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai telah mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.

Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.

Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolahdi SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.

Perbicaraan tersebut dijangka akan memakan masa sehingga 10 hari di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm.

Sekiranya didapati bersalah Shalwati dan Azizul dijangka akan merayu keputusan. - ASTRO Awani 

Pernah dipukul seribu kali, dakwa anak

STOCKHOLM: Anak kedua pasangan rakyat Malaysia yang ditahan di Sweden atas tuduhan mendera anak-anak mereka, berkata dia telah dipukul lebih dari seribu kali oleh ibunya dan beberatus kali oleh bapanya pada tahun 2013.

Memberi keterangan kepada pegawai penyiasat, Ammar,12, berkata beliau juga telah disuruh berdiri di satu sudut rumah sepanjang hari sehingga bapanya pulang ke rumah sebagai hukuman.

Kenyataan itu disampaikan dalam video oleh pendakwa Anna Arnell di dalam mahkamah di hadapan Hakim Mattias Moller pada hari kedua perbicaraan.

Memakai seluar jeans dan jaket hijau, Ammar juga memberitahu tentang dua insiden di mana beliau didakwa dipukul oleh ibu bapanya.

Insiden pertama adalah apabila dia mendengar muzik yang kuat ketika melakukan kerja rumah dan ibunya memukulnya dengan penyangkut baju sebagai hukuman.

Insiden kedua adalah ketika dia dan kakaknya bergaduh di dalam kereta semasa bapa mereka memandu mereka ke sekolah. Beliau berkata beliau telah dipukul di bahu oleh bapanya Azizul Raheem Awaluddin setelah memukul kakaknya.



Terdahulu di dalam video berasingan, anak bongsu pasangan itu Arif telah menunjukkan beberapa objek yang diambil dari rumah mereka dan diminta untuk mengenal pasti yang mana digunakan untuk memukul beliau.

Beliau yang berusia tujuh tahun kemudian mengenal pasti dua rotan dan pembersih karpet sebagai objek yang digunakan oleh ibunya, Shalwati Nor Shal untuk memukulnya.

Beliau menyifatkan ia sebagai "rotan yang mempunyai simpulan".


Mamakai baju kurung berwarna emas, tudung kelabu dan jaket, Shalwati kelihatan tenang sepanjang prosiding itu yang diadakan pada waktu pagi. Dia dan suaminya Azizul duduk bersama peguam mereka Johan Tamm dan Kristofer Stahre. 

Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang emosi sepanjang prosiding.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia, Datuk Badruddin Abdul Rahman, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammed Tayib dan beberapa ahli keluarga dan rakan-rakan pasangan itu.


Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak Disember 2013 kerana didakwa mendera keempat-empat anak mereka , yang kini di bawah jagaan ibu saudara mereka di Kelantan.


Mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, bulan lepas.

Anak sulung pasangan itu Aishah , 14, dan Ammar kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala manakala Adam , 11, dan Arif kini belajar di Sekolah Kebangsaan Padang Kala, Kota Bharu.

Perbicaraan dijangka berjalan selama 10 hari di Mahkamah Daerah Solna di Stockholm dan akan melihat Shalwati dan Azizul membuat pengakuan tidak bersalah mereka atas melanggar integriti anak-anak mereka .