Jamal ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuannya dengan pegawai agensi terlibat.
SABAK BERNAM - Pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengakui telah pun menyewa mesin pengorek dan jengkaut untuk melaksanakan kerja-kerja merobohkan mana-mana bangunan yang didiami tanpa kelulusan di sekitar daerah Sabak Bernam.
Menurut beliau, sekiranya tiada sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam berhubung tanah-tanah didiami tanpa kelulusan, beliau tidak teragak-agak merobohkan premis terbabit.
"Kalau mereka tidak mengambil tindakan dengan apa yang telah saya maklumkan, jangan salahkan saya jika saya mengambil tindakan bersendirian untuk merobohkan mana-mana bangunan yang didiami tanpa kelulusan.
"Bagaimana sebuah disko boleh beroperasi di Sungai Besar ini sehingga pagi.
"Adakah mereka hanya menunggu arahan daripada menteri besar untuk merobohkan dan menutup serta menyita premis-premis seperti ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Khairuddin Md Som dan Setiausaha MDSB, Awaluddin Zakaria, pagi tadi.
Jamal berkata, undang-undang perlu ditegakkan di Sabak Bernam memandangkan terdapat kira-kira sembilan pusat judi dan 40 rumah urut termasuk karaoke beroperasi di sekitar daerah itu.
"Sesiapa yang menduduki tanah rizab kerajaan dan tidak berlesen robohkanlah dan perlu diambil tindakan, janganlah tempat saya sahaja... mesin judi, karaoke takkanlah boleh terlepas pandang.
"Saya pertikaikan berapa banyak laporan dan aduan penduduk di sekitar Sabak Bernam terutama di taman-taman perumahan tentang masalah ini," katanya.
Beliau juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat ini.
"Kalau ada salah laku, jawablah... saya tak nak tuduh sesiapa," katanya.
Ditanya kerugian dialaminya selepas 11 struktur bangunan resortnya yang masih dalam pembinaan dirobohkan pihak berkuasa, Jamal berkata, kos pembinaam sahaja bernilai kira-kira RM308, 000.
"Saya melakukan pinjaman keseluruhannya melalui sebuah bank dan bayar secara bulanan.
"Kos untuk membina bangunan tersebut sahaja, satu bangunan kosnya sebanyak RM28, 000... bayangkanlah, kalau 11 bangunan itu dan ini tak masuk lagi kos penyelenggaraan lain," katanya.
Mengulas berhubung dengan pertemuannya dengan pihak berkuasa, Jamal berkata, pegawai terbabit telah menjelaskan kepadanya berhubung tindakan menyita resortnya dan merobohkan struktur bangunan bersebelahan resort berkenaan.
"Saya tak marah pun pegawai-pegawai MDSB dan Pejabat Daerah Sabak Bernam kerana mereka hanyalah pegawai kerajaan yang hanya menjalankan tugas dan mengikut arahan.
"Tetapi, saya ingin mempersoalkan baru selepas sehari saya membuat protes berhubung isu ketiadaan bekalan air dengan memakai tuala untuk menumpang mandi di pejabat MB (menteri besar), keesokannya bangunan yang telah saya dirikan selama lima tahun ini dirobohkan dan disita.
"Ini bukan secara kebetulan, kenapa tak sebulan dulu... tak setahun dulu, kenapa tak sehari sebelum itu lagi?," soalnya.
Jamal dengan nada sinis menegaskan, beliau tidak marah dengan tindakan penguatkuasaan itu malah berterima kasih kepada MDSB dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.
"Tetapi persoalannya, kenapa Jamal sahaja diambil tindakan?.
"Pada Jumaat lepas, saya dapati terdapat tiga kedai mesin judi terang-terang beroperasi di Sekinchan tanpa diambil tindakan," katanya.
- Sumber: Sinar Hariu | 28 Disember 2016
No comments:
Post a Comment